Selasa, 9 Disember 2008

Tanah runtuh: SAR masuk hari ke-4, lebih agresif

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan buat hari keempat hari ini - yang lebih agresif dengan bantuan cuaca baik - tumpuan masih memfokus untuk mengesan warga Sri Lanka dilaporkan hilang semasa tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa Sabtu lalu.

Namun sehingga kini usaha mencari warga Sri Lanka itu masih belum membuahkan sebarang hasil, dan bilangan yang maut dalam tragedi itu masih kekal empat orang setakat ini.

Mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas ialah Dr. Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20 dan warga Indonesia Surinah, 30an.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, usaha lebih agresif akan dijalankan pada hari ini sebab keadaan cuaca agak baik.

"Setakat ini operasi menggali telah dilakukan sedalam lima kaki khusus di kawasan Yogeswari ditemui," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan mangsa telah berubah disebabkan pergerakan tanah.

Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan laluan utama ke beberapa kawasan perumahan di kawasan Bukit Antarabangsa terputus dan beriburibu penduduk terperangkap.

Tenaga Nasional Bhd pula berjaya memulihkan bekalan elektrik kepada kirakira 1,500 rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu, petang semalam.

Antara kawasan yang sudah menerima kembali bekalan elektrik itu ialah Taman Puncak Bukit Utama, Taman Bukit Jaya, Kondo Casa Desol, Jalan Bukit Utama, Southern Heights, Kyoto Garden, Kyoto Garden club, Taman Bukit Utama dan kondominium Oakleaf.

Dalam pada itu, bekalan air yang terputus di sekitar kawasan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sejak Sabtu lepas kembali pulih awal pagi tadi. Bekalan air sudah boleh dugunakan oleh penduduk kirakira pukul 3 pagi tadi setelah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berusaha sejak semalam untuk menyambungnya semula.

Tinjauan Bernama juga mendapati penduduk yang mengosongkan kediaman mereka sebelum ini mengunjungi kaunter pendaftaran polis untuk mendapatkan borang sebelum dibenarkan masuk untuk mengambil barang yang mereka tinggalkan.

Menurut polis, jalan keluar dan jambatan sementara yang dibina telah membolehkan penghuni yang terkandas sejak kejadian, mula keluar memulakan aktiviti harian termasuk pergi bekerja selepas cuti umum Hari Raya Aidiladha semalam.

Dianggarkan kira-kira 500 penghuni masih berada di kawasan sekitar tempat kejadian terutama di pangsapuri Kyoto Garden.

Operasi bagi mengesan seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang masih diteruskan sejak semalam.

Mangsa dipercayai seorang warga Sri Langka yang juga merupakan seorang pembantu rumah kepada mendiang Dr T, Yogeswari yang terbunuh dalam kejadian itu.

Tiada ulasan: