Rabu, 10 Disember 2008

Tanah runtuh: Parlimen bahas usul tergempar petang

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI, 1 tengah hari]


KUALA LUMPUR Dewan Rakyat akan membahaskan usul tergempar yang dibawa Ahli Parlimen Gombak, Azmin Mohd. Ali untuk membincangkan soal pembangunan di kawasan tanah tinggi dan lereng bukit ekoran tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Sabtu lalu.

Usul itu akan dibahaskan mulai pukul 4.30 petang ini selama sejam.

Azmin memfailkan usul itu pagi semalam.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika memutuskan penerimaan usul tersebut berkata, ia memenuhi tiga syarat yang ditetapkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) iaitu usul itu "tertentu, membabitkan kepentingan awam dan perlu disegerakan."

"Saya akan membenarkan pihak pencadang berbahas selama 30 minit dan pihak kerajaan selama 30 minit," katanya.

Dalam usulnya, Azmin berkata, kerajaan perlu mengambil pandangan pakar-pakar secara serius untuk menyelenggara cerun-cerun tanah.

"Saya menyambut baik baik kenyataan Perdana Menteri dan ketegasan Menteri Besar Selangor untuk tidak meluluskan cerun lereng bukit tapi kenyataan itu sudah biasa didengar," katanya.

Beliau berkata, kejadian yang menunjukkan sikap tamak dan rakus manusia terbukti dalam tragedi terbaru Sabtu lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, kerajaan negeri Selangor terdahulu perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

Azmin berkata, demi kepentingan umum usul ini perlu dibincangkan segera dalam Dewan Rakyat.

Semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, satu akta perlu digubal bagi memastikan pembangunan di kawasan tanah tinggi dapat dijalankan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula seawal pukul 6.30 petang dengan memberi tumpuan ke atas kawasan yang lebih luas.

Menurut beliau, dua alat pengesan digunakan dalam operasi hari ini.

Namun, kata beliau, sehingga kini (pukul 11 pagi) masih belum ada apa-apa penemuan.

Bagaimanapun jelas beliau, operasi akan dihentikan pukul 2.30 petang ini.

"Selepas itu jawatankuasa operasi akan berbincang semula sama hendak meneruskan SAR ataupun sebaliknya," kata beliau yang juga pengarah operasi SAR selepas mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri sebentar tadi.

Jabatan Kerja Raya dan Ikram masih meneruskan usaha pemantauan.

Tiada ulasan: