Sabtu, 6 Disember 2008

Tanah runtuh: Bangunan CIMB, Amanah Raya dikosong

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR Dua lagi kejadian runtuhan kecil berlaku di kawasan parkir terbuka antara bangunan CIMB Commerce Square dan bangunan Amanah Raya di Jalan Semantan petang semalan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Mohd Jaslizad Jalil berkata runtuhan pertama berlaku pada pukul 2.30 petang sehingga menyebabkan kanvas yang menutup kawasan runtuhan awal itu jatuh.

"Runtuhan kedua berlaku pada pukul 4.30 petang dan kami telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan keselamatan CIMB yang membuat kawalan 24 jam di kawasan itu," katanya ketika di hubungi Bernama/

Beliau berkata anggota bomba dan penyelamat dari Balai Hartamas telah membuat pemantauan di kawasan itu bersama pegawai daripada Jabatan Kerja Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Penghuni di kedua-dua bangunan itu telah berpindah dari situ.

"Bangunan itu dikosongkan sejak semalam sehingga mendapat kebenaran selamat untuk diduduki oleh jawatankuasa pemantauan," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah memasang penghadang di kawasan itu bagi menghalang orang awam daripada memasukinya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dalam kenyataanya berkata, semua kakitangan di kedua-dua bangunan itu telah dipindahkan ke lokasi lain milik CIMB di sekitar Lembah Klang termasuk di Bangi dan Petaling Jaya.

"Tiada sebarang gangguan dalam operasi kami hari ini. Semua fungsi utama kami yang terletak di bangunan itu termasuk perkhidmatan broker saham, perbankan korporat, pengurusan risiko serta perbankan antarabangsa dan perkhidmatan transaksi beroperasi dari 'backup sites' masing-masing.

"Kami akan terus beroperasi dari lokasi itu sehingga pakar dan pihak berkuasa memaklumkan kepada kami bahawa keadaan selamat sepenuhnya untuk kembali ke dua bangunan itu," katanya.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang semalam, 11 kereta milik kakitangan CIMB tertimbus apabila tanah di kawasan parkir terbuka di Jalan Semantan itu runtuh.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiada ulasan: