Isnin, 15 Disember 2008

Saudara mara penerima rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Saudara mara yang terlibat atau bersubahat dengan penerima rasuah mungkin menerima tindakan yang sama dengan orang yang tertuduh berdasarkan peluasan tafsiran 'saudara' dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata berdasarkan rang undang-undang itu, tafsiran bagi 'saudara' telah diperluaskan untuk merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang, adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu, bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Mentua, menantu, anak saudara, bapa saudara, emak saudara dan sepupu orang tertuduh tidak terangkum dalam tafsiran 'saudara' di bawah APR 1997 sedia ada dan implikasinya dari ketiadaan itu, tindakan tidak dapat diambil sekiranya terdapat kes yang merujuk kepada kumpulan tersebut," katanya.

Mohamed Nazri, yang membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua hari ini, berkata kekurangan itu akan diatasi dengan memperkenalkan tafsiran baru di bawah undang-undang baru itu supaya skop pemakaiannya bagi kesalahan di bawah Fasal 23 dan 36 turut melibatkan golongan tersebut.

Penalti bagi kesalahan di bawah fasal berkenaan ialah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Penalti sama boleh juga dikenakan terhadap manamana pegawai awam asing yang melakukan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk menerima suapan.

Mohamed Nazri berkata peruntukan di bawah Fasal 22 merupakan satu kesalahan baru yang digubal di bawah SPRM sebagai memenuhi obligasi di bawah Artikel 16 Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Rasuah yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak September lepas.

Mohamed Nazri berkata berbanding APR 1997, rang undangundang SPRM juga mencadang untuk memansuhkan hukuman penjara minimum iaitu 'dipenjarakan selama tempoh tidak kurang empat belas hari'. Bagaimanapun hukuman penjara maksimum 'tidak lebih dua puluh tahun' dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi masih dikekalkan.

Penalti yang dicadangkan dalam SPRM itu merupakan antara cadangan penambahbaikan kepada APR 1997 tetapi sebahagian besar peruntukan yang terdapat di dalam APR 1997 masih dikekalkan memandangkan ia masih relevan dalam konteks pencegahan rasuah di negara ini, kata Mohamed Nazri.

Beliau juga berkata Jabatan Perkhidmatan Awam telah meluluskan tambahan keanggotaan bagi pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) seramai 500 orang untuk 2008 dan seramai 900 orang lagi untuk tahun hadapan.

Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah keanggotaan seramai 5,000 orang dalam tempoh lima tahun.

Mohamed Nazri berkata langkah itu akan dapat membantu BPR mempercepatkan proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.

Tiada ulasan: