Selasa, 16 Disember 2008

Salah guna kanak-kanak, Dr. Jeyakumar akan dikena tindakan

BERNAMA


SHAH ALAM: Polis akan mengambil tindakan terhadap anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jeyakumar kerana menyalahgunakan kanak-kanak dalam kempen "Berbasikal Untuk Perubahan" anjuran kumpulan tidak berdaftar, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) di Rawang malam semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata mereka yang berusia 18 tahun ke bawah ditakrifkan sebagai kanak-kanak mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Dr. Jeyakumar akan diambil tindakan mengikut Seksyen 32 akta yang sama kerana menyalahgunakan kanak-kanak dalam perhimpunan haram itu.

Semasa ditahan, Dr. Jeyakumar mengaku beliau yang menganjurkan kempen itu, katanya mengulas mengenai penahanan Dr. Jeyakumar, anggota Dewan Undangan Negeri Rawang Gan Pei Nei dan 28 yang lain yang berumur 18 tahun ke bawah kerana terlibat dalam kempen itu malam semalam di Rawang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengiktirafan Sijil ISO9001:2000 yang diterima oleh sebuah syarikat kawalan keselamatan Orbit Force Security Sdn Bhd, di sini hari ini, Khalid berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan atau perarakan tanpa permit atau kebenaran polis.

Beliau menjelaskan kesemua 28 yang berumur 18 tahun ke bawah itu telah dikumpulkan di balai polis Rawang sementara pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghubungi ibu bapa masing-masing untuk membawa mereka pulang.

"Kanak-kanak tidak pernah ditahan...kami (polis) akan menyelamatkan mereka daripada dieksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab," kata Khalid yang menegaskan polis tidak menerima sebarang surat atau permohonan bertulis daripada pihak penganjur untuk mendapatkan permit menganjurkan kempen itu.

Akhbar hari ini melaporkan kesemua mereka dibebaskan setelah kenyataan mereka direkodkan.

Mengenai perkembangan di kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Khalid berkata polis akan mengawal kawasan perumahan yang terpaksa dikosongkan kerana dikhuatiri tidak selamat sementara menunggu pengumuman kerajaan negeri Selangor sama ada penempatan yang dikosongkan itu selamat didiami atau tidak.

"Kita akan mengawal rumah-rumah yang diarah kosongkan itu sekurang-kurangnya sehingga hari Jumaat ini sehingga keputusan dibuat.

"Jika keputusan dibuat meneruskan tindakan mengosongkan rumah itu kita akan terus berada (berkawal) di situ," katanya.

Buat masa ini, katanya terdapat lebih 500 anggota dan pegawai polis berada di tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan ketenteraman awam di sana.

Beliau juga berharap pemilik sebuah daripada 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh itu, K. Thanarajah tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan ada melihat kalangan anggota penyelamat menggeledah sebuah banglo yang musnah itu selepas operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

Katanya polis telahpun memulakan siasatan mengenai dakwaan itu yang disiarkan akhbar semalam dan menurutnya adalah lebih baik untuk Thanarajah tampil membuat laporan polis supaya siasatan lebih berkesan dapat dilakukan.

Thanarajah ialah suami kepada mendiang Dr. S.Yogeswari yang merupakan antara empat orang yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu.

Tiada ulasan: