Isnin, 1 Disember 2008

'PPP duri dalam daging,keluar BN sekarang'

Mohd Khalil


KUALA LUMPUR - "Barisan Nasional (BN) tidak perlu tunduk kepada sebarang ugutan jahat daripada mana-mana parti komponennya, dan Kayveas telah berkali-kali membuat ugutan seumpama itu semata-mata hendak mendapatkan sokongan murahan penyokongnya."

Demikian tegas Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama hari ini.

Menurutnya,Parti Progresif Penduduk (PPP) disaran keluar daripada BN sekarang tanpa perlu menunggu pilihan raya umum ke-13.

Katanya, kenyataan presiden parti itu Dato' M Kayveas semalam bahawa PPP akan keluar daripada BN jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) sebelum pilihan raya umu ke-13, adalah berbaur ugutan jahat dan amat menyakitkan hati.

"BN tidak perlu tunduk kepada sebarang ugutan jahat daripada mana-mana parti komponennya...," katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim itu berkata, BN akan berasa lega jika PPP keluar daripada komponen BN sekarang kerana parti itu sudah lama menjadi duri dalam daging kepada BN sejak Kayveas menjadi presidennya.

"Kayveas perlu menerima hakikat bahawa PPP mampu bernafas ketika ini kerana berada dalam komponen BN, dan jika keluar daripada BN, rakyat tidak akan mempedulikannya lagi,"katanya. - mks. _

Tiada ulasan: