Rabu, 10 Disember 2008

PM bentang rang undang-undang 2 suruhanjaya

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 2 petang]


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebentar tadi membentangkan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Ia akan dibacakan buat kali kedua pada sidang Parlimen kali ini juga.

Suruhanjaya itu, yang memberi penekanan lebih baik dalam membanteras gejala rasuah, akan ditubuhkan melalui penggubalan akta baru bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Abdullah juga membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 untuk mewujudkan badan kehakiman bebas, bagi menguruskan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan, termasuk bagi pelantikan Ketua Hakim Negara.

Turut dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini ialah Rang Undang-undang Pencen (Pindaan) 2008, Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 2008, Rang Undang-undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2008 dan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008.

BERITA TERDAHULU

PM pengerusi mesyuarat pramajlis MP BN, taklimat tubuh SPRM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat pramajlis ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Parlimen sebentar tadi.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Bung Moktar berkata, taklimat hari ini membincangkan mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)yang akan dibentangkan hari ini.

Kata beliau, Perdana Menteri berharap semua pihak tanpa mengira parti akan menyokong penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Pertemuan itu antara lain menyentuh tentang Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang ditubuhkan sebagai sebuah badan bebas bagi mengganti serta mengambil alih tugas Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Ia dibentangkan di Parlimen hari ini.

Difahamkan suruhanjaya yang dicadangkan akan menekankan aspek keberkesanan dan ketelusan, di samping meningkatkan persepsi masyarakat terhadap kebebasan badan itu dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

Ia berdasarkan model agensi-agensi antirasuah yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia, seperti Independent Commission On AntiCorruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di New South Wales, Australia. SPRM akan menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dijangka diketuai seorang Ketua Pesuruhjaya serta dikukuhkan dengan pembentukan sebuah Lembaga Penasihat dan sebuah jawatankuasa khas mengenai rasuah.

Tiada ulasan: