Jumaat, 5 Disember 2008

Pilihan raya kecil 17 Januari, banjir makin pulih

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB
[DIKEMAS KINI]


PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari sebagai tarikh penamaan calon.

Ia diputuskan dalam mesyuarat khas panel SPR yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku pemangku pengerusinya pagi ini.

SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya pada Ahad ini dengan disusuli notis 21 Disember.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Kuala Terengganu dilaporkan bertambah baik pagi ini.

Lebih ramai mangsa telah dibenarkan pulang sejak petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Polis negeri berkata, jumlah mangsa banjir di daerah itu sehingga pukul 8 pagi ini adalah seramai 300 orang berbanding 542 orang petang semalam.

"Ini menunjukkan keadaan banjir di Kuala Terengganu akan pulih seperti biasa dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masingmasing tidak lama lagi," katanya.

Jurucakap itu berkata, kawasan yang masih ditenggelami banjir ialah Taman Pusu Tiga, Taman Desa, Kampung Tok Jiring, Kampung Sungai Pinang, Kampung Bukit Tunggal, Taman Seri Embong dan Wakaf Tembesu.

Pusat pemindahan yang masih dibuka ialah di Sekolah Tok Jiring, Surau Pak Ali Tok Jiring, Balairaya Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

BERITA TERDAHULU

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Mesyuarat dijadual bermula pukul 9.30 pagi tadi dan pengumuman mengenai tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya kecil dijangka dibuat kira-kira dua jam kemudian.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, mesyuarat khas pagi ini akan memfokus tiga perkara penting.

Pertama, pelantikan pegawai-pegawai yang akan mengendalikan pilihan raya termasuk pengurus pilihan raya.

Kedua, pengesahan daftar pemilih terkini dengan mengambil kira proses pembersihan dan kemasukan pemilih baru.

"Kemudiannya kita akan menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian dengan mengambil kira beberapa perkara," katanya.

"Kami akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil menjelang pukul 11.30 pagi nanti," katanya.

Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis mengenai kekosongan daripada Parlimen Isnin lalu.

Pilihan raya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, beliau mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2004 selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Ia merupakan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas, Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Tiada ulasan: