Jumaat, 12 Disember 2008

Peta negara Champa dalam simpanan Perancis

Ali Bukhari Amir


PHNOM PENH - Kedudukan Champa sebagai sebuah negara berdaulat yang telah hilang daripada peta dunia boleh disahkan oleh negara Perancis.

"Perancis antara pihak yang menyimpan peta Negara Champa. Saya pernah dengar hal ini dalam sebuah persidangan di Kuala Lumpur tidak lama dahulu," kata seorang pengkaji tempatan kepada Harakah Daily di sini hari ini.

Mokhtar Abdul Majid, 33, berkata penurunan Melayu Cham ke Tanah Melayu itu boleh dikesan melalui Kedah, Johor (Ulu Tiram), Pahang (Pekan) dan beberapa tempat lain lagi.

"Perahu mereka banyak berlabuh di Pengkalan Chepa (Champa). Di tempat saya sudah ada sekitar 200 buah keluarga, itulah hasil bancian kami bersama Perkim," kata Mokhtar.

Sementara itu, seorang pengkaji Melayu Champa veteran yang lain, Haji Ismail Muhammad, 67, berkata pihaknya kini sedang cuba mengumpulkan semula data-data berhubung carta aliran penghijrahan Melayu Champa secara besar-besaran ke Tanah Melayu.

"Bangsa Melayu Cham terawal bermula daripada Vietnam dan kemudian turun ke Kemboja. Di sana ada sebuah tempat lagi yang boleh dilihat kawasan perkampungan mereka itu.

"Walaupun kini saya sudah menjadi rakyat Amerika, tapi kecintaan saya terhadap bangsa dan agama masih lagi tebal," kata Haji Ismail yang mula berhijrah ke Los Angeles ketika perang Vietnam dan Amerika memuncak sekitar 1970-an.

Dalam perkembangan lain, wakil an-Nahar Management Ustaz Azhar telah menyampaikan sumbangan korban sembelihan tiga ekor lembu di Kg. Cheroi Mettrai tengahari tadi. _

Tiada ulasan: