Isnin, 29 Disember 2008

Peruntukan sekolah RM200 juta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mula menyalurkan peruntukan berjumlah RM200 juta kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang dikenal pasti pada minggu pertama sesi persekolahan 2009.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan tersebut akan diagihkan secara sama rata kepada empat aliran SBK dengan masing-masing bakal menerima RM50 juta.

Baru-baru ini, katanya, satu mesyuarat khas telah diadakan khusus untuk membincangkan kaedah dan strategi terbaik bagi memastikan penyaluran peruntukan itu memberi manfaat yang optimum kepada sekolah-sekolah sasaran.

‘‘Penyaluran kepada SBK ini juga diputuskan supaya mengambil kira beberapa kriteria penting yang telah dipersetujui iaitu SBK yang daif dan usang, kurang selamat dan tidak pernah menerima sebarang peruntukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

SBK melibatkan empat jenis aliran sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Beliau memberitahu, mesyuarat itu bersetuju dengan kaedah pengagihan peruntukan tambahan RM200 juta tersebut, iaitu penyaluran RM50 juta kepada SJKC melalui Lembaga Pengelola Sekolah dan RM50 juta kepada SJKT melalui Jabatan Kerja Raya.

Sementara itu, katanya, RM50 juta lagi diberikan kepada SABK melalui Kementerian Pelajaran dan RM50 juta kepada Sekolah Mubaligh melalui kementerian dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah.

“Kementerian juga bersyukur terhadap komitmen kepimpinan tertinggi kerajaan kerana walaupun negara kini menghadapi cabaran ekonomi yang amat getir akibat krisis kewangan yang melanda dunia, agenda pembangunan pendidikan dan modal insan masih diberi keutamaan,” katanya.

Semasa penggulungan perbahasan Bajet 2009 pada 4 November lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memantapkan SBK daripada peruntukan keseluruhan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM7 bilion.

Kerajaan telah menambah peruntukan sedia ada bagi SBK pelbagai aliran di bawah RMK-9 daripada RM100 juta kepada RM300 juta.

Sekiranya dicampurkan dengan peruntukan tambahan RM50 juta yang bakal disalurkan di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-9, maka keseluruhan peruntukan adalah RM350 juta iaitu jumlah paling besar yang pernah diperuntukkan untuk SBK dalam sejarah pelaksanaan Rancangan Malaysia.

Kata Hishammuddin, bagi membuktikan komitmen kerajaan kepada pembangunan SBK, Timbalan Perdana Menteri juga telah menyatakan persetujuannya untuk menghadiri majlis-majlis penyerahan bantuan berkenaan kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Tiada ulasan: