Khamis, 25 Disember 2008

Peruntukan RM100 juta kepada JAIS

NUR FARHANA ABDUL MANAN


PUCHONG INDAH - Peruntukan lebih RM100 juta bakal disumbangkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam usaha penambahbaikan daripada segi pengurusan dan pentadbiran organisasi itu.

Pembantu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Shuhaimi Shafie berkata, sumbangan kerajaan negeri itu termasuk untuk kos pembaikan surau dan masjid serta Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah seliaan JAIS.

Menurutnya, ia meliputi pembinaan masjid dan surau baru serta keperluan-keperluan agama yang membabitkan bidang kuasa organisasi itu.

Kata Shuhaimi, dana berkenaan akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan itu manakala bagi penganut agama Hindu dan Buddha, mereka juga boleh membuat permohonan peruntukan untuk penambahbaikan rumah ibadat daripada Exco berkaitan.

“Peruntukan berkenaan boleh dimohon di Pejabat Kewangan Negeri dan kita daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha memberi khidmat dan kesaksamaan kepada semua kaum di negeri ini.

“Malah kita juga tidak meminggirkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah agama persendirian apabila peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan untuk tujuan penambahbaikan,” katanya.

Kata beliau lagi, pada Belanjawan 2009 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan negeri juga telah memutuskan beberapa perkara dalam teras pembangunan.

“Pertamanya, bantuan kepada golongan sasaran iaitu kepada mereka yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan mempunyai tanggungan ramai.

“Ia juga termasuk sumbangan bantuan kepada SRA dan sekolah jenis kebangsaan bagi mengurangkan beban pihak pengurusan sekolah dalam memberi pendidikan kepada murid-murid mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian barangan peralatan sekolah, di sini.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda berkata, kerajaan negeri turut mensasarkan pulangan daripada hasil pasir pada tahun depan iaitu kira-kira RM150 juta akan diagih kepada rakyat di negeri Selangor

Tiada ulasan: