Jumaat, 26 Disember 2008

'Pengundi hantu' memang wujud di Terengganu

Khairul Azlam Mohamad


KUALA TERENGGANU - PAS menyangkal kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Ahmad Said yang sengaja berselindung disebalik istilah 'hantu' bagi menutup kesalahan Umno-Barisan Nasional (BN) membawa masuk pengundi luar dari Terengganu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) P.36 Kuala Terengganu, Dato' Wan Abdul Muttalib Embong berkata Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said cuba berselindung disebalik perkataan istilah 'hantu','syaitan' dan 'jin'.

"Bukanlah 'hantu' (jin dan syaitan) yang macam MB (Menteri Besar) faham itu tetapi jika mahu berselindung di sebalik perkataan itu boleh kerana apa yang dikatakan 'hantu' itu baik PAS, baik Umno. Kita (PAS) ada jentera dan jentera kita (PAS) buat semakan, buat penilaian dan banci dari rumah ke rumah," katanya kepada wartawan Harakah

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan negeri ini mudah bagi mengesan para pengundi kerana bukan seperti Kuala Lumpur atau negeri-negeri maju yang penghuni tinggal di apartment, kondomunium dan sebagainya.

Menurutnya, semakan dan kajian dibuat mendapati nama pengundi dalam daftar pemilih ada tetapi pada realiti sebenar tidak ada orang tersebut.

"Ini (pengundi) dalam daftar ada tetapi 'on the ground' realitinya tidak ada. Kita (PAS) cari alamat dia (pengundi) pun tidak ada melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membekalkan setiap pengundi itu dengan alamat penuh.

"Lot tanah itu ada tetapi tidak ada rumah dan tidak ada orang yang tinggal di atas lot tanah itu dan ini berlaku di kampung Durian Burung, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam. Keduanya, rumah-rumah orang yang didaftarkan dengan pengundi-pengundi 'mendatang' sehingga dalam sebuah rumah itu ada 15 hingga 20 orang gunakan satu alamat," tegasnya.

Justeru itu, kata Dato' Wan Abdul Muttalib tidak timbul persoalan apabila PAS menang dikatakan tidak ada pengundi hantu dan bila kalah ada pengundi hantu.

Menurutnya, istilah 'pengundi hantu' itu tetap wujud selama-lamanya selagi tidak dibersihkan oleh pihak berwajib kerana menguntungkan parti pemerintah (BN).-azm/mks. _

Tiada ulasan: