Sabtu, 13 Disember 2008

Pemuda PAS Pulau Pinang bantah program i-Dance

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG - Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang melancarkan piket secara aman di hadapan Masjid Jamek Permatang Janggus selepas solat Jumaat semalam bagi mendesak Exco Belia dan Sukan Negeri, Lydia Ong agar membatalkan cadangan memperkenalkan i-Dance kepada golongan remaja.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dalam kenyataannya menegaskan, program tersebut dilihat tidak relevan kerana ia memperkenalkan budaya yang nyata boleh merosakkan akhlak remaja masa kini.

"Kami meminta ia dibatalkan segera. Jika tidak kami akan mengadakan bantahan dengan sejumlah orang yang lebih besar datang," tegasnya.

Kenyataan Yusni itu turut mempersoalkan beberapa perkara, antaranya:

Langkah Kerajaan Negeri itu dilihat menimbulkan beberapa persoalan, seperti adakah kempen ini usaha terbaik dalam konteks Malaysia sedangkan kita mempunyai seribu satu warisan kebudayaan yang jauh lebih tertib dan sopan?

Adakah pihak berwajib mempunyai rekod atau bukti kejayaan aktiviti seumpama itu sebagai 'pillot test' sebelum dilaksanakan di negeri ini walhal kebejatan sosial dalam kalangan remaja acap kali dikaitkan dengan budaya popular dan hiburan.

Selain itu, adakah mampu i-Dance membantu perkembangan minda kumpulan sasaran kerana 'core-bisiness' remaja dan pelajar adalah mengejar ilmu dan akademik?

Persoalan juga timbul tentang sejauh manakah pihak berwajib boleh memberi jaminan bahawa operandi dan pelaksanaan i-Dance dalam kalangan remaja Islam itu mengikut kehendak syarak, tidak melalaikan, jauh dari perkara haram dan maksiat, tidak bercampur lelaki dan perempuan, menutup aurat serta tidak menyebabkan remaja Islam meninggalkan solat.

Berdasarkan pertimbangan itu maka Kerajaan Negeri harus menghentikan terus program berkenaan seandainya mahu meletakkan kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat sangat unik dan prihatin dalam membina jatidiri remaja.

Iaitu bukan bersikap sebagaimana Umno-BN yang gemar menganjurkan budaya popular dan hiburan dalam kalangan remaja sehingga mengakibatkan golongan pewaris kempimpinan negara hilang identiti dan jatidiri bangsa Malaysia.

"Sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar elaklah program sedemikian kerana ia tidak lojik dengan budaya kita yang lebih bersopan, " tegas Yusni yang hadir bersama 60 orang yang memegang sepanduk dengan pelbagai slogan.

Sebelum itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan dengan wakil Exco bagi membincangkan tujuan penganjuran itu.

Semasa perbincangan itu, pihak penganjur bersedia menerima pandangan PAS agar remaja muslim diasingkan ketika i-Dance yang dianggap lebih kepada senaman kecergasan bukan budaya liar sepertimana yang disangkakan.

Pertemuan itu dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin, Setiausaha PAS Negeri, Fadzil Kemi, Bendahari PAS Negeri, Ustaz Khalid Man dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri, Jamil Abdul Rahman.

Exco Belia dan Sukan Negeri kemudiannya mencadangkan satu tarikh pada minggu depan bagi mencapai titik pertemuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul._

Tiada ulasan: