Rabu, 3 Disember 2008

Pemimpin komponen BN kritik Mukhriz

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini mengkritik calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir yang mencadangkan agar sistem sekolah vernakular dihapuskan dan diserapkan dalam satu kaedah pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam kenyataan akhbar di sini hari ini menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan ke atas Mukhriz yang didakwanya mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan.

''Cadangan Mukhriz itu juga telah mencabuli hak-hak kaum lain di negara ini yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mencadangkan supaya sistem Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) disatukan di bawah satu sistem pendidikan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar manakala subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Namun beliau menjelaskan, murid-murid tetap diwajibkan mempelajari bahasa ibunda masing-masing seperti Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India, malah murid-murid Melayu mempunyai pilihan untuk mempelajari bahasa-bahasa berkenaan.

Mengulas hal yang sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek tidak bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan ia sering diperdebatkan selama ini.

''Ramai kata saya mahu tunjuk hero untuk kaum Cina tetapi siapa sebenarnya yang nak tunjuk hero sekarang ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin menggesa Mukhriz menarik balik cadangan tersebut memandangkan sistem sekolah vernakular telah dipraktikkan di negara ini sejak merdeka serta terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan.

Tiada ulasan: