Rabu, 3 Disember 2008

PAS pula mahu 'rumi tempatan'

Jimadie Shah Othman


PAS kawasan ingin seorang "rumi insider" atau profesional tempatan mengisi calon parlimen Kuala Terengganu yang kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

"Kalau istilahnya itu, calon rumilah (profesional), bukan jawi (ustaz)," kata Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, yang membuat perbandingan secara berseloroh.

Bagaimanapun, katanya, PAS kawasan itu masih meninjau dan berusaha mendapat pandangan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cawangan-cawangan dalam parlimen tersebut.

Tiga kerusi-kerusi DUN bawah parlimen itu dikuasai PAS dalam pilihanraya umum lalu - Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Ladang, sementara BN mengekalkan kerusi tradisinya di Bandar.

Abdul Wahid, juga wakil rakyat Wakaf Mempelam memberitahu Malaysiakini, calon profesional lebih sesuai mengisi kawasan itu berdasarkan faktor kerusi itu di kawasan bandar bandar yang turut terdapat pengundi bukan Melayu.

Berbanding kerusi-kerusi lain yang hampir 100 peratus pengundi Melayu, Kuala Terengganu mempunyai hanya 88.2 peratus sahaja pengundi kaum itu.

Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, sekarang wakil Batu Burok, pernah menang di Kuala Terengganu pada 1999, sewaktu Terengganu jatuh ke tangan PAS, tetapi tewas pada 2004 di tangan Razali.

Abdul Wahid berkata, pertembungan kali ini lebih bergantung pada kekuatan calon daripada parti dan beliau yakin PAS memberikan saingan sengit di kerusi panas itu.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, yang berasal dari Pulau Pinang, tewas tipis dengan 628 undi dalam pilihanraya umum Mac lepas.

PAS Kuala Terengganu akan bermesyuarat esok untuk membincangkan isu calon dan persiapan pilihanraya kecil tersebut, selewat-lewatnya tahun depan.

"Ia mesyuarat biasa, bagaimanapun, agenda pilihanraya akan dibincangkan," kata Abdul Wahid.

Beliau menambah, nama calon-calon mungkin tidak dapat diputuskan lagi pagi esok.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong berkata, penduduk Terengganu lebih suka calon tempatan bagi kawasan parlimen itu.

Tambahnya, bagaimanapun pandangan bahawa calon tempatan mencerahkan peluang PAS memenangi kawasan itu "tidak sangat benar".

"Mohamad Sabu kalah sebab undi pos. (Majoriti pun) tidak jauh sangat," kata peguam itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas peluang parti itu dalam pilihanraya kecil kali ini, veteran PAS itu berkata, keadaan Umno yang sedang sibuk dengan pemilihan partinya Mac depan akan "memberi sedikit kelebihan kepada PAS".

Katanya lagi, walau keadaan musim tengkujuh yang tidak menentu di negeri itu sekarang, semangat PAS sentiasa kuat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali enggan mengulas tentang calon-calon dan peluang parti itu.

"Nanti bila sudah tiba masanya, tiap-tiap hari saya komen," katanya.

Tiada ulasan: