Khamis, 4 Disember 2008

PAS boleh rampas K.T'ganu dari Umno kalau...

Oleh Mohd Sayuti Omar


DI SINI saya ada sedikit 'fatwa'. Saya gunakan analogi fatwa kerana akhir-akhir ini banyak sangat fatwa dikeluarkan.

Fatwa mengenai yoga, fatwa mengenai ajaran sesat; tarikat, hakikat dan marifat, dan terbaru fatwa mengenai haram rokok. Mengambil semangat dari fatwa itu saya ingin menggunakan perkataan itu untuk catatan pagi ini.

Fatwa yang saya maksudkan ialah mengenai bagaimana untuk Pas khasnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk merampas balik kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Kerusi ini adalah penting bagi Pakatan Rakyat dalam proses untuk melaksanakan projek 16 September yang tembangkali itu.

Sekiranya kerusi itu dimenangi oleh Pas ia akan menambahkan satu lagi kerusi. Penambahan ini sangat bermakna kerana boleh mendekatkan impian Pakatan Rakyatuntuk memerintah Malaysia.

Kemenangan itu juga akan memberi semangat dan makin membuka mata pihak lain yang kini sedang memerhati projek berkenaan. Kemenangan itu nanti mungkin boleh menarik minat mereka untuk sama-sama mendokongnya.

Hari ini Pakatan Rakyat ada 80 kerusi. Asalnya 82, satu kerusi dirampas oleh Saleintia dan satu lagi dirampas oleh Mohd Najib Razak! Harap pembaca dapat faham dengan gambaran ini!

Jadi kalau kerusi Kuala Terengganu itu menang bermakna Pakatan Rakyat akan memiliki 81 kerusi! Seperti dikatakan kemenangan itu kelak menjadikan Pakatan Rakyat terus mencatat mata dan nilai kewibawaannya selepas memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lepas.

Fatwa untuk merampas kerusi itu mudah saja, sesiapa pun saya rasa ada menyimpan fatwa ini dalam kepala dan bersetuju dengannya.

1. Pakatan Rakyat hendaknya menghadapi pilihan raya itu secara bersama tanpa ada 'keluk kelik' dengan mengambil kira perkara yang titik bengit.

Pakatan Rakyat harus sepakat dalam membuat kenyataan atau memberi pandangan tentang pilihan raya berkenaan bagi mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh media massa.

Misalnya apa yang dilakukan oleh Mursyiul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membuat kenyataan awal mengenai calon Pas sesuatu yang tidak baik dan boleh menimbulkan berbagai tanggapan buruk. Sikap yang sebeginilah yang harus dielakkan.

2. Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendaklah memberi sokongan sepnuhnya. Jangan timbul perasaan kalangan PKR bahawa pilihan raya itu adalah hak Pas kerana Pas bertanding.

PKR juga jangan sesekali mengungkitkan mengenai sikap Pesruruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali yang sebelum ini bersikap dingin dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan tidak berkecimpungan dalam pilihan di Permatang Pauh dulu. Jangan sesekali insiden itu dijadikan sebagai dendam.

3. Anwar perlu turun sendiri semasa hari penamaan calon, mengiringi calon Pas seperti mana ditunjukkan oleh Mursyidul Am Pas, yang datang bertongkat semasa hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Kalau boleh Anwar perlu berkubu di situ dan secara tidak langsung juga cara itu boleh memulihkan persepsi kurang elok sesetengah Pas Terengganu kepada Anwar.

4. Kalangan Pas sendiri juga kena bersatu. Apa yang dinamakan kumpulan Erdogan atau Pas klon harus diketepikan dan semua pihak dalam Pas kena bersatu. Jangan ada pihak yang ingin melihat pihak lain kecewa dengan pilihan raya itu nanti.

5. Calon yang akan dikemukakan biarlah calon yang boleh diterima oleh semua pihak, tidak mempunyai banyak masalah tanpa mengambil kira mereka dari kumpulan atau puak mana.

Perasaan berpuak hendaklah dibiarkan. Hasrat mencapai kemenangan hendaklah mengatasi segala kepentingan lain.

Perlu diingat pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini memberi erti dan signifiken tersendiri kepada Pas (Pakatan Rakyat) dan juga Umno.

Bagi Pakatan Rakyat pilihan raya itu akan menjadi petunjuk apakah pengundi Terengganu khasnya di Kuala Terengganu tidak keliru atau kecewa dengan kegagalan projek 16 September.

Kemenangan kerusi itu menjadikan kerja-kerja projek tembangkali itu boleh dimulakan semula.

Manakala bagi Umno pula ia akan menjadi medan ujian kepada parti itu dan bakal presidennya Mohd Najib Razak.

Kemenangan kepada BN akan memberi petunjuk bahawa peralihan kuasa dalam Umno diterima oleh rakyat.

Sebaliknya sekiranyan Umno kalah menjelaskan peralihan kuasa itu ditolak dan orang yang bakal mengambil kuasa itu tidak diterima.

Jika fatwa kecil ini dapat dipraktik saya rasa Pakatan Rakyat tidak berhadapan dengan masalah besar untuk merampas balik kerusi berkenaan.

Tiada ulasan: