Isnin, 8 Disember 2008

Operasi kesan 1 lagi mangsa diterus, laluan kedua dibina

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan buat hari ketiga hari ini, di sebalik hujan lebat dan sambutan Aidiladha, bagi mengesan seorang rakyat Sri Lanka yang dipercayai tertimbus.

Bagaimanapun sehingga 3 petang tadi anggota SAR belum menemui sebarang petunjuk dari anjing pengesan dan sensor pengesan.

Usaha membina laluan kedua juga diteruskan dengan bantuan anggota tentera dan kakitangan Jabatan Kerja Raya.

Laluan itu bermula dari rumah bernombor 30 Taman Bukit Mewah dan disambung hingga kawasan Kondominium Impian Selatan, melibatkan jarak kira-kira 250 meter.

Warga Sri Lanka itu merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan, Dr. N. Yogeswari yang turut terbunuh dalam tragedi ini kelmarin.

Dia dilaporkan tidak dapat dikesan sejak kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ekoran laporan polis yang diterima daripada seorang kenalan Dr. Yogeswari malam tadi, operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh itu yang diberhentikan pukul 6.30 petang semalam dimulakan semula tiga jam kemudian.

Semalam pasukan SAR telah mengumumkan dua kali bahawa tiada lagi mangsa iaitu tengah hari dan sebelah petang.

Laporan kehilangan pembantu kerja itu merupakan petunjuk baru untuk meneruskan SAR.

Ikram melaporkan masih ada lagi pergerakan kecil struktur tanah dan segala operasi akan dihentikan segera jika keadaan merbahaya.

Tinjauan wartawan mStar Online di tempat kejadian mendapati jamuan Aidiladha turut diadakan, secara kecil-kecilan, untuk para petugas yang terlibat dalam operasi SAR.

Ia adalah tajaan pengurusan Hotel Concorde.

Ketika ditemui wartawan di tempat kejadian di sini sebentar tadi, Khalid berkata, operasi mengesan warga Sri Lanka itu ditumpukan di rumah banglo No. 1, Jalan Bukit Mewah di mana mayat Yogeswari dijumpai kelmarin.

"Operasi masih diteruskan hingga sekarang kerana walaupun tanpa petunjuk kerana memandang berat laporan tersebut," kata pada sidang media.

"Operasi kita tumpukan pada lokasi tersebut kerana percaya dia berada berdekatan dengan mangsa tersebut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 2,000 penduduk Bukit Antarabangsa masih terperangkap dan usahausaha sedang dijalankan termasuk membina laluan baru.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 4 pagi kelmarin telah menimbus 14 banglo di kawasan itu dan meragut empat nyawa setakat ini yang terdiri daripada Dr Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin,20 dan warga Indonesia Surinah, 30-an.

Walaupun hujan lebat turun sejak awal pagi ini, penduduk Islam di sekitar tempat kejadian telah beramai-ramai turun untuk menunaikan solat Aidiladha di Surau Madrasah AdDinniah yang terletak 500 meter dari tempat kejadian itu.

Petang semalam SAR mangsa tanah runtuh dihentikan apabila pasukan penyelamat berpuas hati tiada lagi mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan di situ.

Operasi itu dihentikan pada pukul 6.30 petang, kira-kira 38 jam selepas kejadian itu, yang menimbus 14 buah rumah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama dan meranapkan sebahagian daripadanya.

Pemberhentian operasi SAR itu diumumkan Khalid petang semalam.

Keputusan itu dibuat setelah pasukan penyelamat mengesahkan bahawa cebisan daging yang kesan oleh anjing pengesan di bawah runtuhan bangunan di situ adalah bangkai seekor anjing peliharaan.

"Dengan ini tiada lagi mangsa yang terperangkap atau tertimbus dalam runtuhan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya pasukan bertugas terus membantu pemilik rumah yang terlibat dalam kejadian itu untuk mencari barangan dan dokumen penting di kawasan runtuhan rumah masing-masing.

Khalid berkata kerja-kerja mengorek tanah di kawasan tempat kejadian menggunakan jengkaut telah juga dihentikan.

Katanya, pergerakan tanah di kawasan terbabit masih berlaku tetapi ia adalah dalam skala rendah.

Malah petang semalam, Khalid turut meminta kira-kira 2,000 penduduk di empat kawasan penempatan di Bukit Antarabangsa supaya berpindah serta merta kerana kajian Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kawasan itu berisiko tinggi mengalami tanah runtuh.

Kawasan-kawasan itu ialah Kondominium Impian Selatan, Taman Bukit Mewah, Jalan 6A Taman Bukit Jaya dan Jalan 9 Taman Wangsa Ukay.

Tiada ulasan: