Isnin, 1 Disember 2008

Mumbai: KL siasat kad kredit dikeluar di M'sia

AFP


Polis Malaysia sedang menyiasat laporan bahawa kad kredit yang dikeluarkan di negara ini, ditemui bersama dengan pengganas yang terbabit dalam serangan maut di Mumbai.

Media India melaporkan Sabtu lalu bahawa kad kredit Malaysia ditemui dalam beg galas beberapa pengganas yang terbunuh sewaktu tembak menembak dengan anggota komando tentera India yang mengakibatkan 195 terbunuh dan 295 cedera.

"Laporan ini perlu disahkan terlebih dahulu kerana terlalu awal untuk membuat sebarang andaian," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar kepada New Straits Times.

"Polis akan menyiasat kemungkinan ia adalah kredit kad palsu," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, Malaysia tidak ada sebarang kaitan dengan pengganas terbabit.

Beliau mengulas satu lagi laporan media India bahawa sembilan pengganas terbabit mendakwa sebagai pelajar Malaysia ketika mereka datang ke Mumbai beberapa bulan yang lalu.

Syed Hamid berkata, penyerang terbabit tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan di Malaysia dan pihak berkuasa sedang memantau rapi situasi tersebut walaupun India belum menghubungi mereka berhubung perkara itu, laporan akhbar the Star.

"Memang ada kerjasama rapat antara pasukan keselamatan," kata Syed Hamid dalam laporan tersebut.

"Jika terdapat sebarang maklumat, apa sahaja yang dianggap berguna atau penting, maka akan ada pertukaran maklumat," tambahnya.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kaitan atau sebarang maklumat mengenainya," katanya.

Tiada ulasan: