Ahad, 7 Disember 2008

Mesyuarat Umno Pengkalan Chepa hari ini

BERNAMA


TANAH MERAH: Persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah akan diadakan pada 13 Disember ini setelah Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada dua hari lalu, mengetepikan dengan kos injuksi terhadap 32 anggota Umno Bahagian Tanah Merah yang dibuat bekas Ahli Jawatankuasa Umno bahagian itu, Abdul Rahman Ibrahim pada 6 November lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanah Merah, Almidi Jaafar berkata, arahan daripada ibu pejabat Umno melalui Badan Perhubungan Umno Negeri menetapkan mesyuarat perlu diadakan pada Sabtu depan.

"Jadi mesyuarat perwakilan yang tergendala bulan lepas akan diadakan selepas hari raya (Aidiladha) ini di tempat yang ditetapkan nanti," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah pada 8 November lepas terpaksa ditangguhkan setelah Abdul Rahman mengemukakan saman pemula pada hari itu meminta mahkamah menghalang 32 anggota Umno itu mengambil bahagian dalam mesyuarat.

Abdul Rahman menamakan 32 anggota bahagian itu sebagai tidak sah kerana gagal menjelaskan yuran mengikut syarat ditetapkan perlembagaan parti. Sementara itu, persidangan perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa akan diadakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau dan Pemilih Badan Perhubungan Umno Kelantan Tuan Hashim Tuan Yaacob berkata arahan telah dikeluarkan bagi membolehkan bahagian itu mengadakan mesyuarat sebagaimana ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Persidangan perwakilan Umno bahagian Pengkalan Chepa tertangguh ekoran wujud unsur-unsur negatif dalam pemilihan yang diadakan pada Ogos lepas mengakibatkan semua cawangan di bahagian itu mengadakan mesyuarat semula.

Tiada ulasan: