Jumaat, 5 Disember 2008

MAIJ kesan bekas ahli kumpulan Al-Arqam masih bergerak aktif

BERNAMA


JOHOR BAHRU: Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu bahawa Majlis Agama Islam Johor mengenalpasti kumpulan bekas Al-Arqam dan Qadiyani masih bergerak secara aktif di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman berkata kumpulan Qadiyani bergerak aktif di sekitar bandaraya Johor Baharu manakala kumpulan bekas Al-Arqam yang menggunakan nama syarikat Global Ikhwan menjalankan aktiviti di Johor Baharu, Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

"Kumpulan ini (AlArqam) cuba menghidupkan kembali amalan aurad Muhammadiah yang difatwakan haram pada 1994. Bagi membendung kegiatan ini, Majlis Agama Islam Johor menganjurkan program penerangan seperti seminar pengukuhan akidah dan mengedar risalah berkaitan kepada orang ramai.

"Majlis Agama Islam turut memusnahkan premis dan bahan terbitan yang bertentangan dengan syarak selain menjalankan pemantau berterusan," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Machap) pada persidangan dewan itu di sini.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut), Zainal Abidin berkata kerajaan negeri Johor akan mewartakan fatwa pengharaman yoga dalam masa terdekat.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang semalam memutuskan bahawa yoga tidak patut diamalkan dan ia mengikut keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengharamkan amalan berkenaan.

Dewan dalam pada itu juga diberitahu seramai 1,640 orang diberhentikan kerja di negeri ini dari Januari hingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Tekonologi dan Inovasi Johor M.Asojan berkata daripada jumlah itu 1,111 orang daripadanya adalah pekerja tempatan manakala 529 orang lagi merupakan pekerja asing.

"Terdapat 48 syarikat direkodkan terlibat dalam pemberhentian pekerja ini. Syarikat yang terlibat adalah dalam bidang perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan," katanya menjawab soalan Goh Tee Tee (BN-Tangkak).

Sementara itu, R.Vidyananthan (BN-Kahang), pada sesi perbahasan pembentangan Bajet Johor 2009 pula mencadangkan kerajaan negeri supaya mengharamkan penjualan samsu yang dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah sosial dan menjejaskan pembangunan rakyat.

Beliau berkata kebanyakan "kaki samsu" bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan keruntuhan rumah tangga, menjejaskan hubungan kekeluargaan, kehilangan pekerjaan, penderaan dan jenayah.

Tiada ulasan: