Jumaat, 12 Disember 2008

Lokasi tragedi Bukit Antarabangsa ditutup serta-merta

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tapak kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, ditutup serta-merta selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan amaran bahawa kawasan itu tidak lagi selamat dan amat berbahaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata notis penutupan kawasan tapak tanah runtuh itu dikeluarkan pihak berkuasa pada pukul 12 tengah hari ini.

"Hasil kajian JKR dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mendapati kawasan tanah runtuh meliputi 14 unit rumah banglo seluas 4 hektar itu tidak selamat untuk orang ramai termasuk pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR). Ia dilarang sama sekali.

"Polis telah menutup kawasan itu dan ambil alih sepenuhnya kawalan di kawasan berkenaan dan pasukan Unit Udara Polis Diraja Malaysia akan memantau kawasan itu dari masa ke masa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, JKR dan Ikram akan mengeluarkan laporan penuh berhubung status keselamatan kawasan tanah runtuh itu pada 19 Dis ini

Bagaimanapun, Khalid berkata, pasukan kecil SAR melibatkan bomba dan Smart akan diletakkan dalam keadaan berjagajaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Khalid berkata, penghuni dari lima kawasan penempatan iaitu Taman Bukit Mewah, Jalan 9 dan 11 Taman Wangsa Ukay, Jalan 6 Taman Bukit Jaya dan Kondominium Impian Selatan yang diminta mengosongkan rumah mereka, masih boleh mengambil barangan mereka dengan menggunakan pas sementara.

Sementara itu, pembinaan jambatan kekal yang sedang rancak dilaksanakan oleh JKR dijangka siap selewat-lewatnya pukul 6 pagi esok.

Selain itu, Khalid berkata, kerja-kerja penyelengaraan laluan alternatif yang dibina tentera akan dilakukan mulai 12 tengah malam ini sehingga 6 pagi esok.

"Kerja-kerja pemulihan jalan dan masukkan tar akan dijalankan selama dua hari mulai hari ini, dan jalan alternatif akan ditutup untuk lalu lintas dan orang ramai bermula 12 tengah malam ini hingga 6 pagi esok.

"Orang ramai yang perlukan maklumat lanjut boleh baca notis yang dilekatkan di setiap pos operasi agensi yang terbabit atau berjumpa dengan pegawai bertugas di pusat operasi," katanya.

Beliau berkata, kini fokus lebih diberikan kepada fasa pemulihan dan ia akan dipantau oleh Pegawai Daerah Gombak Huzaini Samsi.

Khalid berkata, setakat ini 102 aduan diterima polis daripada penduduk setempat mengenai pelbagai masalah, termasuk kemusnahan dan kehilangan harta benda.

Tiada ulasan: