Khamis, 11 Disember 2008

Larang projek cerun bukit MPAJ akur arahan Kerajaan Negeri

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ) tidak akan meluluskan mana-mana projek perumahan di kawasan kelas 3 cerun bukit jika kerajaan Negeri telah menetapkan larangan tersebut.

Menurut Pengarah Perancang Bandar MPAJ, Awang Mustapha kelulusan daripada MPAJ bergantung kepada polisi kerajaan Negeri sebab projek kawasan kelas 3 di bawah pentadbiran kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Timbalannya, Wan Hasrina Wan Hassan.

Katanya, permohonan projek kelas 3 mesti melalui Jawatankuasa Alam Sekitar di peringkat kerajaan Negeri jika kerajaan negeri luluskan MPAJ akan memproses permohonan tersebut.

Mengulas kelulusan projek perumahan di Taman Bukit Mewah katanya, projek itu diluluskan pada tahun 1985 iaitu ketika di bawah Majlis Daerah Gombak dan MPAJ masih belum wujud, MPAJ wujud pada 1 Julai 1992," katanya ketika ditemui di khemah MPAJ di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa.

Menurut beliau pada tahun 1985 belum ada dasar melarang pembinaan rumah di cerun bukit dan untuk di Selangor dasar itu wujud pada tahun 2002.

Beliau turut menafikan tiada aduan daripada penduduk yang mengatakan pokok hendak tumbang tetapi yang diadu hanya pokok yang bahaya dan pihak MPAJ sudah menebangnya.

"Jika ada aduan daripada penduduk tanda-tanda akan berlaku runtuhan kita sudah turun awal, " katanya.

Ketika di lokasi beliau turut menunjukkan kawasan tanah rezab yang akan dijadikan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan sementara milik angkatan tentera yang akan siap dalam tempoh tiga hari.

Beliau menjelaskan keluasan kawasan yang terlibat dengan runtuhan seluas 10 ekar, 90 meter lebar dengan kejauhan 300 meter.

Katanya lima kawasan yang perlu pindah iaitu penduduk di Bukit Mewah, kondominum Impian Selatan, rumah teres Jalan 6 Taman Bukit Cahaya, Jalan Wangsa 9 dan Jalan Wangsa 11. _

Tiada ulasan: