Ahad, 7 Disember 2008

Kerana serang Najib, Zahar digantung?

Oleh Nazeri Samad


Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember 2008 lalu telah mengambil tindakan memecat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan menggantung keanggotaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun.

Pemecatan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru ini yang berkuatkuasa serta merta dan tiada sebarang rayuan tidak begitu memeranjatkan kerana beberapa siri tindakan beliau yang disifatkan agak keterlaluan dari sudut pandangan kepemimpinan tertinggi Umno.

Bagaimanapun, keputusan menggantung Zahar agak mengejutkan selepas tindakan yang sama dikenakan ke atas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail kira-kira dua bulan yang lalu.

Dalam kenyataan kepada media, Presiden Umno yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu bahawa penggantungan bekas Adun Taman Medan ini adalah kerana beberapa tindakannya yang menimbulkan perkara sensitif dan boleh mencetuskan perbalahan dalaman.Difahamkan juga antara lain sebab Zahar dipecat adalah kerana menyertai laman-laman web pro pembangkang dan melontarkan ide-ide yang bertentangan dengan prinsip parti.

Berbeza dengan penggantungan Ahmad yang dikaitkan dengan isu perkauman, apakah releven penggantungan Zahar yang sekadar mengeluarkan ide bertentangan dengan prinsip parti di laman web pro pembangkang? Apakah ide Zahar terlalu sensitif sehingga boleh menyebabkan Umno akan berpecahbelah dan terus bermasalah?

Selepas keputusan teruk dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Zahar dikatakan memberi pandangan agar kritikal terhadap kepemimpinan tertinggi Umno termasuk Abdullah dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut maklumat, dalam beberapa siri mesyuarat Perhubungan Umno Negeri Selangor, Zahar seringkali mempertikaikan kewibawaan Abdullah dan Najib sehingga ke tahap kedua mereka perlu meletak jawatan di samping kritikan pedas terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Muhamamd Mohd Taib.

Sebelum berlakunya tekanan sehingga menyebabkan Abdullah melepaskan jawatan Presiden pada Mac depan, Umno bahagian Petaling Jaya Selatan itu dikatakan mahu mencalonkan bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Presiden. Selain daripada Gua Musang dan beberapa bahagian Umno yang dikenalpasti akan mencalonkan Tengku Razaleigh, Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan adalah di antara bahagian yang hebat mahukan bekas Menteri Kewangan ini.

Bagaimanapun, apabila keseluruhan mesyuarat pemilihan bahagian-bahagian Umno (melainkan Umno Bahagian Gua Musang) telah sebulat suara mencalonkan Najib, Zahar akur dengan kehendak akar umbi. Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan turut mencalonkan Najib sebagai Presiden.

Selain daripada kritikan di dalam mesyuarat Perhubungan Umno negeri, tindakan luar biasa yang dilakukan Zahar adalah mengedar risalah kepada seluruh kepemimpinan Umno bahagian-bahagian seluruh negara. Sama ada beliau terbabit mengedar risalah yang mempertikaikan kepemimpinan Abdullah dan Najib atau tidak namun hampir semua Ahli Jawatan kuasa bahagian-bahagian Umno telah menerima risalah yang dipos.

Risalah terbabit adalah mengandungi kenyataan Zahar sendiri dan beliau tidak pernah menafi membuat kenyataan demikian.Berkemungkinan ada pihak `tertentu’ yang cuba menjatuhkan Abdullah atau Najib namun nama Zahar sudahpun terjejas sedikit.

Tekanan terhadap Abdullah dan Najib disifatkan sebagai `terlalu berat’ apabila Zahar mengaitkan isu pembelian helikopter `Eurocopter untuk menggantikan Nuri. Kontraversi pembelian helikopter terbabit apabila Zahar yang juga pengerusi Mentari Services Sdn Bhd telah menulis surat kepada Najib pada 7 Oktober 2008 lalu yang mempersoalkan keputusan secara tergesa-gesa Kementerian Pertahanan menandatangani surat niat (LOI) dengan firman Jerman-Perancis Eurocopter.

Menurutnya, surat LOI terbabit ditandatangani tanpa melalui proses penilaian dan diluluskan dua hari sebelum Najib yang juga Menteri Pertahanan ketika itu berpindah potfolio ke Kementerian Kewangan.

"Kami tidak ketahui samada wakil dari Eurocopter dan Augusta Westland dipanggil oleh pasukan penilai untuk perundingan dan menyediakan penjelasan lanjut berhubung tawaran yang dibentangkan mereka, tetapi wakil daripada Kelowna dan Sikorsky tidak pernah dihubungi sama sekali”.

Tawaran kepada anda (Najib) daripada syarikat kami untuk menyediakan helikopter Kazan MI-172 untuk digunakan dan diuji oleh angkatan tentera selama enam bulan tidak pernah mendapat maklumbalas daripada kamu. Tawaran oleh Sikorsky untuk penerbangan ujian helikopter S-92 buatan syarikat terbabit juga tidak dilayan.

“Cara pemilihan helikopter Cougar EC-725 menimbulkan kesangsian jika kementerian di bawah pimpinan anda sememangnya serius, bersih dan boleh dipercayai dalam usaha untuk menilai semua tawaran yang dibuat daripada pembida atau adakah kemungkinan proses penilaian tersebut hanya satu gimik ketika (anda) telah pun merancang dari awal lagi untuk membeli Cougar EC-725 untuk tujuan tertentu," antara kandungan yang di sebut di dalam surat Zahar itu.

Isu ini juga pernah disentuh oleh Pengerusi Jawatankuasa Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang menjalankan siasatan terhadap hasrat pembelian terbabit telah mengumumkan bahawa aspek teknika pembelian helikopter perang itu dibuat secara profesional.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat oleh beliau di Parlimen itu tidak memuaskan hati pelbagai pihak yang seterusnya mahukan siasatan itu dilakukan melalui Suruhanjaya Diraja yang perlu ditubuhkan khusus untuk menyiasat pelbagai aspek termasuk unsur rasuah dan keselamatan anggota tentera terhadap pembelian terbabit.

Walaupun Abdullah sebagai Menteri Pertahanan menangguh atau membatalkan pembelian helikopter ini, namun Zahar sudahpun menerima padah. Tindakan beliau telah dibayar dengan harga digantung dari parti selama tiga tahun.

Samada Zahar emosional atau wujud `masalah tersembunyi’ dalam isu terbabit hanya Ahli Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 2 Disember lalu yang mengetahuinya. Apakah Najib tidak terbabit dalam usaha untuk menggantung Zahar ini?

Tiada ulasan: