Rabu, 17 Disember 2008

Keputusan kes Mahfuz saman Utusan 23 Disember

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 Disember ini keputusan kes saman Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd. kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu artikel yang diterbitkan tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujahan berhubung jumlah ganti rugi yang patut diberikan sekiranya keputusan memihak kepada Ketua Penerangan Pas tersebut.

Mahfuz selaku plaintif diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala peguam M. Reza Hassan mewakili Khalid dan Utusan Melayu yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Mahfuz memfailkan saman itu pada 10 Disember 2001 dengan mendakwa pihak defendan telah memfitnah beliau menerusi artikel bertajuk 'Demonstrasi - Mahfuz isytihar bersama Keadilan' yang disiarkan di muka surat dua Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Beliau yang tidak menyatakan jumlah tuntutan ganti rugi dalam saman itu, melalui pernyataan tuntutannya mendakwa, perkataan-perkataan dalam artikel itu adalah tidak benar dan bersifat fitnah.

Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan perintah mengarahkan pihak defendan memohon maaf serta menarik balik tuduhan fitnah itu yang hendaklah dibuat selama tiga hari di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Sementara itu, pihak defendan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 1 Mac 2002 menafikan artikel tersebut bersifat fitnah, sebaliknya ia merupakan satu laporan tepat dan saksama.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan fitnah berkenaan, pihak defendan juga mendakwa artikel itu dibuat dengan kewajaran dan benar dari segi kandungan serta fakta.

M. Reza dalam hujahnya berkata, ganti rugi yang kecil perlu dipertimbangkan sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Mahfuz atas faktor karakter dan sifat peribadi plaintif yang dikatakan lantang bersuara dan suka bertikam lidah dengan ahli-ahli Parlimen lain.

''Malahan Mahfuz pernah ditahan sekali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan disebabkan karakternya begitu menunjukkan beliau tidak seharusnya menerima ganti rugi melampau dan teladan,'' ujar beliau.

Mohamed Hanipa pula menyatakan, jumlah ganti rugi am yang diberikan untuk kes-kes saman fitnah sebelum ini adalah antara RM100,000 dan RM300,000.

''Oleh itu, saya menghujahkan bahawa jumlah ganti rugi RM200,000 adalah munasabah,'' ujar beliau.

1 ulasan:

Mr. Right berkata...

Rakyat 1 - O Utusan.

Now they will be more careful to shoot their guns towards oppositions leaders.

Congrats to Mahfuz and his lawyers.

Short Talk