Selasa, 23 Disember 2008

Kepentingan internet, Harakahdaily mampu lakar kejayaan pilihan raya

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Dalam abad ke-21, budaya internet dan kepantasan maklumat yang disalurkan merupakan antara faktor penting mengubah landskap politik negara sekaligus melakarkan kejayaan dalam pilihan raya bagi pihak yang mengambil peluang memanfaatkan bidang itu.

Pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah memberitahu bahawa antara punca utama kejayaan parti pembangkang di lima negeri datangnya daripada penyebaran maklumat melalui internet seperti laman web-laman web alternatif, blogs dan juga Harakahdaily

"Justeru untuk memastikan sesuatu kejayaan, semua pihak tidak boleh mengambil mudah peranan internet yang dilihat ke depan dalam menyampaikan maklumat berbanding dengan kaedah tradisional seperti akhbar.

"Harakahdaily mesti pantas dalam menyampaikan berita terkini dan dalam masa yang sama boleh interaktif bersama pembaca, peminat atau pengguna internet," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi 'Brain Storming' dan penambahbaikan Harakahdaily.net yang diadakan petang semalam di pejabat Harakah bersama warga kerja Harakah dan Harakahdaily.

Katanya apa juga kejadian atau peristiwa penting yang berlaklu hari ini wajar dilaporkan segera dan terkini kerana masyarakat sekarang dahagakan maklumat segera. Justeru medium internet merupakan salah kaedah terbaik berbanding dengan akhbar yang hanya akan menyiarkan berita berkaitan pada keesokan hari.

Kita kena lakukan perubahan. Siar dulu di Harakahdaily, kemudian di akbar cetak dan bukan sebaliknya. Tidak ada kajian pun yang menyatakan bahawa jualan akhbar akan merosot disebabkan oleh berita yang telah tersiar diinternet.

"Kita mesti ingat, bagi masyarakat yang sudah ada kemudahan internet dan mempunyai komputer dan laptop, mereka akan melayari laman web secara 'bebas' paling minima 4 jam sehari malah saya sendiri melayari Harakahdailyhampir 7 kali sehari untuk mengetahui perkembangan politik semasa.

"Dan jangan dikesampingkan peranan internet, yang boleh mengubah landskap politik negara sevcara keseluruhan. Sebagai seoarang ahli akdemik pengajian media, saya memberi nasihat kepada kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan atau selainnya," katanya.

Beliau juga turut mendedahkan bahawa terdapat 500,000 blogs yang sudah sedia ada di Malaysia manakala yang aktif berjumlah 100,000 yang menjadi antara mediaum terpenting dalam menyampaikan maklumat sewaktu pilihan raya 8 Mac lalu.

"Bayangkan satu isu yang pernah disiarkan dalam blog saya telah disebarkan maklumat itu sejumlah 17.3 juta kali. Adalah sesuatu yang malang jika kita tidak mempedulikan peranan internet yang sangat penting di abad ini," katanya.-azm _

Tiada ulasan: