Ahad, 14 Disember 2008

Kalau Mahfuz kahwin lagi...

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Jika Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kahwin lagi dengan pelajar yang membuat PhD di luar negara dan beliau memenuhi giliran isterinya serta bermalam dengannya, kemungkinan besar isterinya itu dipanggil balik ke tanah air untuk menjelaskan kepada universiti tempatan yang menghantarnya melanjutkan pelajaran untuk memberikan penjelasan kenapa Mahfuz pergi ke rumahnya.

Perkara itu dibangkitkan sendiri oleh Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008.

Beliau menceritakan bagaimana seorang pensyarah yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di United Kingdom telah dipanggil balik oleh universiti yang menghantar beliau melanjutkan pelajaran untuk memberi jawapan kenapa Mahfuz pergi ke rumahnya.

"Saya pergi makan nasi rumah seorang pensyarah universiti buat PhD di sana, pensyarah itu dipanggil balik oleh universiti untuk beri jawapan kenapa Mahfuz Omar pergi rumah kamu. Saya pergi makan nasi, pergi ziarah dia.

"Takkan pergi makan nasi, macam mana kalau saya menikah seorang lagi. Isteri saya belajar buat PhD di UK, sebulan sekali saya pergi, nanti dia tanya pasal apa Mahfuz mai. Maknanya isteri saya jawab, dia mai bukan sahaja setakat mai, tidur dengan saya. Salah....

"Makna kena jawab kepada pihak universiti. Ini saya kata apa punya undang-undang. Jadi saya hendak kata bahawa Yang Berhormat (Menteri Pendidikan Tinggi) beri jaminan tetapi apa dari segi praktikalnya tidak berlaku begitu. Tekanan kepada pelajar-pelajar di luar negara cukup teruk," kata Mahfuz (pautan perbahasan di sini).

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali menceritakan diskriminasi yang dihadapi anaknya "semata-mata kerana dia anak Dr Lo' Lo'".

"Anak saya dua orang belajar di luar negara, saya tahu sangat isu ini dan saya tahu sangat diskriminasi, malah Timbalan Perdana Menteri pernah pergi ke Indonesia di mana tempat universiti anak saya belajar, dicari anak saya malah orang yang ikut dia, pegawai-pegawai dia mencari dan secara single out daripada ramai-ramai itu dan memberi orang kata, ugutan-ugutan kepada anak saya, kerana dia anak saya, semata-mata kerana dia anak Dr. Lo'Lo'," katanya.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mahu para pelajar dibenarkan terlibat dengan kegiatan politik jika tiada kajian saintifik menunjukkan bahawa penglibatan dalam politik akan menjejaskan daya berfikir mahasiswa keranma ia adalah adalah hak asasi mereka.

Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan pula menolak dakwaan bahawa para pelajar tidak dibenarkan berpolitik untuk memastikan kecemerlangan pelajaran mereka.

"Saya juga hendak tahu apakah pihak kementerian membuat kajian di mana negara-negara yang top 100 universities dalam Times Higher Education Ranking ini mana universiti yang ada AUKU ala Malaysia ini. Mereka tidak ada, mereka top 100 universities.

"Umur mengundi di sesetengah negara seperti US dan UK ialah 18 tahun, mereka boleh mengundi, boleh terlibat dalam politik tetapi universiti mereka top 100. Jadi, alasan yang diberi tidak boleh dipakai langsung, tidak boleh diterima," tegas beliau._

Tiada ulasan: