Selasa, 2 Disember 2008

Jangan terus pinggirkan saya

UTUSAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM - "Salahkah saya mempertimbangkan tawaran itu, jika khidmat dan kerja- kerja saya selama ini tidak dihargai dan seolah-olah ada niat untuk mencantas saya daripada parti," tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Katanya, sebagai ahli UMNO yang setia beliau tidak pernah terfikir untuk melompat parti namun jika masih dilayan sebagai orang luar dan dipinggirkan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk berpaling.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang tawaran Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dikatakan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya jika menyertai parti itu kelak.

Tegasnya, sebagai ADUN tunggal di Parlimen Permatang Pauh, tindakan UMNO bahagian yang diterajui Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sudah mula mengetepikan haknya sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu malah usaha untuk meminggirkan beliau dilihat bermula selepas pemilihan pucuk pimpinan parti pada bulan lalu.

"Saya masih berpendirian bahawa tidak menolak dan tidak pula kata menerima namun tawaran yang datang dari sahabat baik saya, penasihat PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh dipertimbangkan jika saya terus dilayan sebegini oleh UMNO bahagian sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Arif Shah berkata demikian bagi mengulas dakwaan Abdul Jalil yang mengatakan bahawa UMNO Permatang Pauh tidak pernah menyisih beliau dalam aktiviti parti sebelum ini.

Ketua UMNO Permatang Pauh itu juga mendakwa, Arif Shah yang tewas pada pemilihan pucuk pimpinan bahagian bulan lalu juga gagal memberi kerjasama terhadap barisan ahli jawatan kuasa bahagian baru yang dilantik.

"Saya lihat ketua bahagian melayan saya sebagai orang luar sejak sekian lama malah ketika gerak kerja pilihan raya kecil lalu pun, jadual tidak seragam dan di situ sudah nampak tanda-tandanya," katanya.

Jelasnya, kuasa untuk menjadi calon adalah atas keputusan pucuk pimpinan parti dan bukannya datang dari ketua bahagian.

Katanya, sebagai bekas calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil baru-baru ini, beliau masih meneruskan janji-janji yang diberikan.

Katanya, tidak timbul siapa perlu hormat siapa kerana dalam hierarki UMNO, jawatan ADUN dan Ketua Bahagian adalah sama dan untuk seseorang dihormati. Ia perlu diraih dan bukan dipaksa.

"Saya minta tolong Abdul Jalil jangan kacau apa jua kerja-kerja saya terhadap orang di Permatang Pauh dan juga jangan dikenakan sebarang syarat kerana ia boleh mengeruhkan lagi suasana harmoni dalam UMNO bahagian," katanya.

Tiada ulasan: