Isnin, 15 Disember 2008

Jangan tahan bas, takutkan orang ramai - Muhammad

KLPOS / BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Penyokong parti pembangkang diingatkan supaya tidak bertindak sebagai "polis" semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, kawalan keselamatan serta ketenteraman awam adalah tugas polis dan mereka tidak boleh menggunakan cara sendiri kerana ia boleh mengundang ketegangan.

"Menjaga keselamatan adalah kerja polis.

"Jangan ada mana-mana pihak yang menahan bas, buat sekatan jalan raya dan pandai-pandai menggunakan cara yang tidak sepatutnya," katanya selepas melawat warga emas, Wook Mohamad, 68, yang uzur di Kampung Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pada beberapa pilihan raya kecil lepas, penyokong pembangkang bertindak di luar batasan undang-undang apabila menahan bas dan menakutkan orang ramai.

"Mereka tahan bas, geledah dan sebagainya.

"Mereka gunakan taktik ini untuk menakutkan pengundi," katanya.

Berdasarkan pengalaman lepas, beliau berkata, penyokong pembangkang sentiasa mahu mewujudkan ketegangan supaya orang ramai takut untuk keluar mengundi.

Muhammad berkata, rakyat sepatutnya diberikan hak untuk menunaikan tanggungjawab mereka terutama Malaysia sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang aman.

"Asas ini telah ada di negara kita, malah di Terengganu sendiri.

"Jadi jangan sampai pihak tertentu terutama pembangkang mewujudkan perkara-perkara lain dalam fikiran rakyat kerana sebenarnya kita sudah mempunyai asas yang baik," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penyokong Barisan Nasional (BN) supaya tampil untuk menerangkan kepada pengundi bahawa keadaan aman semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kelak.

Tiada ulasan: