Selasa, 30 Disember 2008

Fitnah: Rashid timbang saman pemimpin pembangkang

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PUTRAJAYA: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang bersara sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mempertimbangkan untuk menyaman pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang memfitnah beliau sepanjang menerajui suruhanjaya itu.

"Saya menyimpan semua bukti-bukti yang ada dan akan menyerahkannya kepada peguam saya untuk mendapatkan nasihat," katanya selepas Majlis Pecah Tanah tapak bangunan ibu pejabat SPR yang baru, di sini.

Abdul Rashid berkata, beliau serius dalam hal ini memandangkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya seringkali bersifat peribadi.

"Mereka serang saya secara peribadi. Mereka ingat saya ini macam Perdana Menteri sedangkan saya mempunyai ahli-ahli suruhanjaya yang mana kita berbincang setiap kali membuat sebarang keputusan.

"Tengoklah nanti. Saya kutip semua bukti-bukti ini. Jangan main-main kerana saya tidak akan melepaskannya begitu sahaja.

"Mungkin ada ahli Parlimen yang akan hilang kerusi nanti," katanya.

Abdul Rashid berkata, tindakan undang-undang itu nanti hanya melibatkan parti pembangkang memandangkan tiada pemimpin parti pemerintah yang memfitnah beliau.

Ditanya mengapa beliau tidak mengambil tindakan itu semasa memegang jawatan Pengerusi SPR, Abdul Rashid berkata, beliau tidak mahu melibatkan suruhanjaya itu memandangkan tuduhan-tuduhan kepadanya adalah bersifat peribadi.

Abdul Rashid telah menerajui SPR sejak tahun 2001 dan telah mengendalikan tujuh pilihan raya umum sejak menjawat jawatan pengerusi dan sebagai setiausaha sebelum itu.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mencadangkan kuasa yang ada pada SPR ketika ini dikaji semula supaya SPR mempunyai kuasa autonomi semasa menjalankan pilihan raya.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri secara peribadi berhubung hal ini dan nampaknya memberi reaksi positif.

"SPR mesti mempunyai kuasa penuh dalam mengendalikan pilihan raya supaya ia boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, hal itu perlu supaya SPR tidak lagi dituduh sebagai badan yang lemah dan tidak mampu bertindak jika berlaku sebarang masalah.

Abdul Rashid berkata, beliau berpuas hati dengan tugasnya sepanjang menerajui SPR selama tujuh tahun.

"Saya boleh katakan semua pilihan raya yang dikendalikan itu berjaya. Saya sangat gembira," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik, Abdul Rashid berkata: "Tidak ada. Kalau ada pun, saya simpan dalam hati."

Tiada ulasan: