Jumaat, 5 Disember 2008

Dr Khir: Segerakan majlis kempen

Abdul Rahim Sabri


Calon ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyeru majlis berkempen calon-calon disegerakan, khususnya bagi membolehkan mereka bertemu perwakilan bahagian-bahagian yang tidak mencalonkan masing-masing.

"Saya perlu bekerja kuat untuk meraih sokongan," katanya, yang berdepan dengan pertarungan tiga penjuru dengan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan exco pergerakan itu Datuk Mukhriz Mahathir.

Daripada 62 pencalonan bahagian, bekas menteri besar itu menerima sokongan besar dari Selangor (15 daripada 22 bahagian), Perak (11 daripada 24) dan Wilayah Persekutuan (8 daripada 13 bahagian).

Sementara Khairy mendapat pencalonan kuat di Kelantan (8 daripada 14 bahagian) dan Sabah (10 daripada 25), dan Mukhriz meraih sokongan bulat dari Kedah (14 daripada 15 bahagian), Johor (13 daripada 25), Pahang (8 daripada 14) dan Negeri Sembilan (4 daripada 8).

Khairy, juga ahli parlimen Rembau, mendapat 53 pencalonan, manakala ahli parlimen Jerlun 74 pencalonan.

Dr Mohamad Khir bimbang beliau ditohmah merasuah untuk mendapat sokongan para perwakilan memandangkan beliau seorang ahli politik tanpa sokongan keluarga, berbanding dua pesaingnya - seorang menantu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan seorang lagi anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya takut dikambinghitamkan. Saya anak orang biasa. Saya bertanding atas dasar kejujuran dan keikhlasan," katanya.

Beliau mencadangkan majlis berkempen di peringkat negeri nanti menemukan ketiga-tiga calon tersebut untuk memperkenalkan visi dan misi mereka.

Julai lalu, ibu pejabat Umno mengeluarkan satu garis panduan etika berhubung cara-cara berkempen dan larangan sewaktu perebutan jawatan-jawatan.

Dalam tata etika tersebut, calon yang bertanding bagi jawatan- jawatan utama di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dibenarkan berkempen dalam majlis penerangan bawah pengawasan ibu pejabat Umno.

Tiada ulasan: