Khamis, 18 Disember 2008

Dewan Ulamak temui setiap pengundi di Kuala Terengganu

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Lebih 50 anggota Dewan Ulamak PAS Kelantan akan berkampung di Kuala Terengganu bagi membantu jentera kempen PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu 17 Januari depan.

Setiausahanya, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, Dewan Ulamak PAS Kelantan akan berkampung di Kampung Kolam di bandar Kuala Terengganu dan akan berpecah kepada tiga kumpulan dalam usaha mendekati penduduk.

"Baru-baru ini Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato' Hussin Awang mempelawa kami membantu kempen pilihan raya kecil tersebut.

"Kami sebenarnya sejak awal lagi merancang membantu PAS Terengganu bagi menghadapi pilihan raya terbabit," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan ekoran kematian penyandangnya Dato' Razali Ismail. Pada pilihan raya tersebut beliau mengatasi calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas dengan majoriti hanya 628 undi.

Abdullah juga berkata, anggota Dewan Ulamak PAS Kelantan akan memberi penekanan kepada dua aspek utama sepanjang kempen tersebut iaitu lawatan bagi menemui rakyat tempatan di samping melaksanakan kaji selidik.

Katanya juga Dewan Ulamak PAS Terengganu berharap dapat berkongsi pengalaman yang dimiliki Dewan Ulamak PAS Kelantan kerana kecemerlangan dalam pilihan raya umum lalu Mac lalu.

Kata beliau agak menarik juga apabila Dewan Ulamak PAS Terengganu memberitahu sebahagian besar surau dan masjid di Kuala Terengganu dikuasai penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

"Malah ada jawatankuasa masjid mahu Dewan Ulamak PAS menyediakan teks khutbah Jumaat untuk disampaikan kepada penduduk," ujarnya.

Abdullah berharap melalui kerjasama tersebut syiar Islam yang dibawa oleh PAS sejak 1999 akan bercahaya semula di Kuala Terengganu. - mj _

Tiada ulasan: