Rabu, 31 Disember 2008

DAP Selangor arah Santiago, Teng henti bertelagah

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: DAP Selangor menggesa Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim supaya henti daripada bertikam lidah di khalayak ramai.

DAP merupakan parti komponen kedua Pakatan Rakyat mengambil pendekatan sedemikian.

Semalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengeluarakan arahan agar pemimpin-pemimpinnya tidak mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, Santiago dan Teng - kedua-duanya pemimpin parti negeri itu - tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan serang-menyerang antara satu sama lain menerusi media.

Justeru, kata beliau, kedua-duanya perlu duduk dan berbincang jika berhadapan dengan apa jua isu yang timbul dengan rasional, kata Ean Yong ketika dihubungi The Star hari ini.

Ean Yong yang juga Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan menggesa kedua-dua mereka berhenti daripada bertengkar, sebaliknya menunjukkan perpaduan parti.

Pada Jumaat lalu, Santiago menuntut Teng menarik balik kenyataannya bahawa beliau telah dibeli oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng yang juga ADUN Sungai Pinang untuk menarik kenyataannya itu dan memohon maaf secara terbuka.

Teng mengeluarkan kenyataan seumpama itu ekoran isu pemindahan stesen bas Klang Utara ke Meru.

Santiago yang dihubungi mStar Online petang ini berkata, beliau tiada apa-apa perkembangan dalam isu berkenaan.

Santiago memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng mulai Jumaat lalu untuk menyediakan bukti bahawa beliau telah dibeli oleh BN.

Teng didakwa membuat kenyataan sedemikian yang disiarkan China Press.

Tiada ulasan: