Khamis, 25 Disember 2008

Calon BN buka laman web tarik pengundi luar

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasioanal (BN), Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata beliau akan mewujudkan laman web khas dalam tempoh terdekat bagi memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa selain untuk memperkenalkan dirinya kepada pengundi luar.

Dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini, beliau berkata laman web itu amat perlu untuk mendekati pengundi Parlimen Kuala Terengganu yang bekerja di luar dari kawasan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas Program Rakan Muda masuk Kampung Bukit Batu Putih, Chendering di sini hari ini, katanya Umno Bahagian Kuala Terenggganu yang diketuainya sedang mengemaskini jumlah sebenar pengundi luar dan meminta bantuan Umno Perhubungan negeri-negeri lain untuk mengesan mereka yang berkenaan.

Mengenai strategi untuk mengelak undi rosak, Wan Ahmad Farid, 46, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, Wanita Umno telah ditugaskan bergerak dari rumah ke rumah bagi memberi penerangan tentang cara mengundi yang betul kepada pengundi.

"Maklumat yang diperoleh daripada ejen pengiraan, selain undi protes, didapati memang ada pengundi yang tidak tahu cara mengundi dengan betul yang mana kadangkala mereka pangkah di luar kotak.

"Sebab itu kita akan memberi penerangan mengenai perkara ini kerana bagi Umno setiap undi itu amat bernilai dan kita mahu menangani masalah 1,050 undi rosak dalam pilihan raya lepas," katanya.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, kerusi P36 Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Datuk Razali Ismail setelah menewaskan naib presiden PAS Mohamad Sabu serta calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran akibat serangan sakit jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 Nov lalu.

Tiada ulasan: