Jumaat, 5 Disember 2008

Beri kuasa kepada Editor Malam sampaikan amaran bencana segera

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Editor malam pertubuhan media hendaklah dilatih dan diberi kuasa untuk menyampaikan amaran kecemasan yang diterima dengan segera tanpa merujuk kepada pegawai atasannya, kata Ketua Unit Tsunami Suruhanjaya Oceanografik Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), Peter Koltermann.

Beliau berkata editor malam kadangkala menerima amaran kecemasan mengenai bencana yang akan berlaku, teragak-agak antara untuk menyiarkan berjaga-jaga segera dan merujuk kepada pegawai atasannya.

"Editor malam tidak boleh berhenti di situ sahaja dan memikirkan sama ada untuk terus menyiarkan atau menanyakan kepada pegawai atasannya. Jika amaran jenis ini diterima, beliau hendaklah terus menyiarkan amaran itu dan memberhentikan yang lain dahulu.

"Mesej amaran bukan berita. Mereka tidak boleh tunggu untuk memasukkannya antara program yang disiarkan, atau selepas mempertimbangkan hasil yang diterima, kerana mesej kecemasan hendaklah dianggap sebegitu," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan amaran kecemasan seperti itu hendaklah yang benar dan dimaklumkan oleh seseorang atau pihak yang ada kuasa.

Beliau berkata carta aliran mengenai mesej kecemasan hendaklah diperoleh segera untuk rujukan editor malam agar beliau tidak membuang masa menanyakan atau mempertimbangkan prosedur.

Bagaimanapun, Koltermann menafikan dakwaan bahawa mesej amaran yang disiarkan lewat disebabkan keengganan penyiar dan pertubuhan berita menyampaikan amaran tersebut.

Isunya ialah siapa yang boleh memutuskan untuk menyampaikan amaran bencana.

"Ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengeluarkan amaran, bukan penyiar. Amaran atau mesej kecemasan adalah wajib, jadi setiap negara hendaklah memutuskannnya sendiri," katanya dalam kertas kerja mengenai "Penglibatan Media dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR)" pada Persidangan Peringkat Menteri Asian Ketiga mengenai DRR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari yang berakhir di sini hari ini.

"Penyiar boleh mengatakan apa sahaja yang hendak dicakapkan. Mereka tidak boleh menyiarkan mesej kecemasan melainkan ia daripada pihak yang ada kuasa untuk berbuat demikian...tetapi mereka janganlah menukar atau menyunting amaran tersebut," katanya.

Tiada ulasan: