Isnin, 1 Disember 2008

Banjir: Terengganu pulih, mangsa di Kelantan naik

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih, terutama di Hulu Terengganu apabila semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup hari ini.

Kesemua baki sembilan orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dibenar pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata sehingga pukul 9 pagi ini seramai 292 orang masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah di negeri ini.

Seramai 124 orang berada di pusat pemindahan di Besut, 143 orang di Marang dan 25 orang di Setiu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bekata, jumlah mangsa banjir di daerah Marang dijangka bertambah berikutan hujan lebat sejak pukul 2 pagi hingga 6 pagi ini dan pihaknya sedang mengumpul maklumat terkini mengenai jumlah mereka yang dipindahkan di daerah itu.

Paras air sungai Marang di Pengkalan Berangan kini berada pada paras waspada iaitu 12.73 meter manakala sungai Setiu di Kampung Bukit mencatat 12.13 meter iaitu melepasi paras, katanya.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah jalan Jertih-Hulu Besut, Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong, Jalan Matang-Telemong dan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang kerana ditenggelami air sedalam antara 0.45 meter dan 1.5 meter.

Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Temala rosak, kata jurucakap itu.

SITUASI DI PAHANG

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga pagi ini ialah 108 orang daripada 22 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 92 orang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Batu Kapur, Temerloh manakala 16 lagi mangsa daripada empat keluarga dari Lembah Bertam, Ringlet, Cameron Highlands ditempatkan di dewan orang ramai Ringket.

SITUASI DI KELANTAN

Di KOTA BAHARU, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,513 pagi ini berikutan hujan lebat malam tadi, berbanding 853 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata, seramai 819 orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pasir Mas, Tanah Merah (305 orang), Kuala Krai (291 orang), Jeli (95 orang) dan Kota Baharu tiga orang.

Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu masih ditutup kepada kenderaan ringan, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya mananaka tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjagajaga.

Tiada ulasan: