Rabu, 10 Disember 2008

Anggota JI bantu perancang 11 Sept. bebas ISA

Syed Hamid: 2 warga Thailand antara 6 dibebas


MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI, 4 petang]


KUALA LUMPUR: Suspek pengganas kumpulan Jemaah Islamiah, Yazid Sufaat yang didakwa memberi perlindungan di negara ini kepada beberapa pengganas terlibat dalam serangan 11 September telah dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Yazid, 44, telah dibebaskan bersama seorang lagi rakyat Malaysia 24 November lalu.

"Kami membebaskan dia memandangkan dia memperlihatkan rasa kesal selepas hampir tujuh tahun berada dalam proses pemulihan.

"Dia dibebaskan dengan beberapa syarat. Dia kena melaporkan kepada polis dari semasa ke semasa dan tidak boleh meninggalkan Selangor tanpa kebenasan polis," kata beliau kepada The Star.

Kata beliau, polis akan memantau Yazid dan beberapa anggota lain yang telah dibebaskan bagi memastikan mereka tidak kembali ke kegiatan lama.

Difahamkan kerajaan telah membebaskan 17 anggota Jemaah Islamiah termasuk lapan rakyat Indonesia.

Yazid, graduan biokimia dari sebuah universiti di Amerika Syarikat telah ditahan Januari 2002.

Dia dikatakan telah membenarkan rumahnya digunakan awal 2000 sebagai tempat mesyuarat bagi anggota Al-Qaeda merancang serangan 11 September di AS.

Dua daripada anggota berkenaan dikenali sebagai Khalid al-Midhar dan Nawaf al-Hazmi yang menaiki pesawat yang merempuh Pentagon di Washington.

Isteri Yazid, Sejahtul Dursina @ Chomel Mohamad, pengarah syarikat teknologi maklumat di Ampang, juga ditahan di bawah ISA.

Sejahtul, graduan California State University ditahan 17 April 2002 tetapi dibebaskan 13 Jun 2002.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, enam tahanan ISA termasuk dua anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) dibebaskan baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka dibebaskan kerana didapati tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya, lima orang dibebaskan 4 Disember lepas iaitu dua warga Thailand yang merupakan anggota kumpulan pemisah dan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang anggota JI.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Yazid Sufaat yang juga kumpulan JI dibebaskan bulan lepas, kata Syed Hamid.

"Kerajaan bersikap, kalau tahanan tidak menjadi ancaman kepada masyarakat, dia akan dibebaskan selepas dipulihkan dan seterusnya boleh dikembalikan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Syed Hamid berkata, sejak mula memegang jawatan di kementeriannya, terdapat 75 orang tahanan ISA dan sehingga kini jumlah itu sudah menurun kepada 46 orang.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 16 adalah dari kumpulan militan JI, 13 orang dari kumpulan Darul Islam, 10 orang kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan dan pasport, lima anggota kumpulan diharamkan Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan dua individu yang bekerja dengan agensi perisikan asing.

Tiada ulasan: