Isnin, 1 Disember 2008

Amaran banjir buruk di Pantai Timur

Yusri Sahat, Arshad Khan, Zuhayati Yazid dan Rohana Mohd. Nawi


KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu berkemungkinan menjadi lebih buruk berikutan amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Banjir juga berkemungkinan akan merebak ke beberapa kawasan lain di utara Semenanjung memandangkan hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.

Menurut kenyataan jabatan itu di sini hari ini, hujan sederhana dengan kadang- kala lebat dari semasa ke semasa akan berlaku di Kelantan dan Terengganu hingga ke waktu malam, Ahad ini.

“Antara daerah yang terbabit di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai.

“Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, amaran jingga dan keadaan hujan berterusan mampu menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai.

Namun perkembangan semasa menunjukkan keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih apabila banyak mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sejak sejak semalam dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Bagaimanapun paras air Sungai Golok mula naik mendadak kira-kira pukul 8 pagi ini menyebabkan 373 mangsa daripada 93 keluarga di Pasir Mas dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Rantau Panjang.

Sehingga pukul 5 petang ini hanya 853 mangsa daripada 191 keluarga masih berada di pusat-pusat pemindahan di Kelantan berbanding 3,415 pagi ini apabila jajahan Kuala Krai dan Jeli dinaiki air semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Rantau Panjang mendapati, penduduk di beberapa kampung berhampiran Sungai Golok mula dipindahkan dengan kerjasama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, keadaan di Rantau Panjang kemungkinan menjadi lebih buruk jika air dari empangan di selatan Thai dilepaskan sebagaimana tahun lalu.

Katanya, seluruh pekan Rantau Panjang dinaiki air kira-kira semeter menyebabkan kebanyakan premis perniagaan ditutup hari ini.

Beliau berkata, tiga jalan yang ditutup kepada semua kenderaan pula ialah laluan Kampung Siput ke Kubang Pak Hitam, Jalan Kampung Bagus ke Lubok Setol dan Jalan Tanah Merah ke Kampung Kusial manakala jalan Lalang Pepuyu, Tanah Merah ke Rantau Panjang ditenggelami air sedalam 0.9 meter.

Bagaimanapun sehingga lewat petang ini, jalan utama yang menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain masih boleh dilalui.

Sementara itu di Terengganu seramai 2,789 mangsa di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini tetapi seramai 711 penduduk di empat daerah masih berada di pusat-pusat pemindahan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, jumlah berkenaan semakin berkurangan berbanding 3,500 orang yang ditempatkan di pusat-pusat berkenaan sehingga pukul 10 malam tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan di 24 buah tempat pemindahan iaitu 287 di Besut, Setiu (143), Hulu Terengganu (sembilan) dan Marang (272).

Beliau memberitahu, empat jalan masih ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air iaitu Jerteh-Hulu Besut, Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong dan Jalan Matang-Kuala Telemong serta laluan Permaisuri-Hulu Seladang.

Bagaimanapun keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya kecuali 87 mangsa daripada 17 keluarga di Kampung Bukit Kapur, Temerloh masih berada di pusat pemindahan di sekolah rendah di kawasan tersebut kerana rumah mereka dinaiki air satu meter.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, walaupun tiada hujan sejak beberapa hari lalu rumah mangsa terbabit masih ditenggelami air selepas paras air Sungai Pahang meningkat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, kesemua empat keluarga dari Kampung Kuala Kuang dan Lanchang, Temerloh yang berada di pusat pemindahan semalam, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir semakin surut hari ini.

Di Cameron Highlands katanya, seramai 13 mangsa daripada dua keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet ekoran banjir lumpur di kawasan tersebut berpunca daripada kerja-kerja pembinaan jalan dari Simpang Bertam ke Cameron Highlands yang sedang dijalankan pada masa ini.

Tiada ulasan: