Ahad, 7 Disember 2008

5,000 penduduk diarah pindah

utusan online


KUALA LUMPUR - Polis mengerahkan kira-kira 3,000 hingga 5,000 penduduk di sekitar kawasan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini yang mengalami tanah runtuh supaya berpindah serta-merta kerana pergerakan tanah masih berlaku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara kawasan-kawasan perumahan terbabit ialah Taman Bukit Mewah, Taman Bukit Jaya, Taman Bukit Utama, kondominium Impiana Selatan, Kondominium Raya, Kondominium Oakleaf dan Kondominium Kyoto Garden.

Katanya, kawasan berkenaan akan ditutup untuk sementara sehingga mendapat isyarat hijau dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Penduduk yang diminta untuk meninggalkan kediaman mereka tidak perlu risau kerana kita (polis) akan menjaga kawasan berkenaan.

"Pemilik rumah diminta supaya meninggalkan nama penuh mereka bagi memudahkan polis menghubungi mereka," ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian.

Selain itu katanya, pasukan penyelamat terpaksa membuka dua lagi jalan alternatif ke kawasan berkenaan kerana laluan utama tertutup dengan timbunan tanah.

Hujan lebat sejak pukul 3 petang bagaimanapun tidak menjelaskan misi pencarian mangsa-mangsa yang terperangkap.

Dalam kejadian itu empat orang terkorban, 10 cedera dan seorang lagi masih hilang apabila 14 buah rumah di kawasan tersebut ranap setelah bukit yang terletak 20 meter dari situ runtuh sekitar pukul 3.50 pagi ini.

Tiada ulasan: