Rabu, 19 November 2008

Zaid jawab surat tunjuk sebab, tindakan sudah diputus

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Ibu pejabat Umno telah menerima jawapan surat tunjuk sebab daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berikutan tindakannya menulis surat terbuka serta menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagi membincangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi mStar Online hari ini berkata, bagaimanapun, jawapan kepada surat tunjuk sebab itu tidak dijawab sendiri oleh Zaid tetapi oleh peguam beliau.

"Kita dah terima surat itu beberapa hari yang lalu iaitu sebelum tarikh akhir yang kita tetapkan pada 15 haribulan (November).

"Tapi yang kita tak faham sekarang, kita minta dia (Zaid) yang jawab tapi kita dapat jawapan daripada peguam dia pula," katanya.

Tengku Adnan bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan jawapan surat tersebut.

Katanya, surat jawapan itu telah pun dibawa kepada pengurusan Umno malah tindakan yang akan dikenakan kepada Zaid juga telah diputuskan.

"Kita dah bawa ke pengurusan parti...tindakan pun dah ada tapi saya tak boleh beritahu sekarang kerana ia mesti dibawa pula ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan datang untuk disahkan," katanya.

Beliau berkata, pengumuman berhubung tindakan terhadap Zaid hanya akan diumumkan selepas mesyuarat tersebut.

Katanya, mesyuarat MT sepatutnya diadakan pada 28 November ini tetapi mungkin ditangguh ke satu tarikh yang belum ditetapkan pada bulan hadapan berikutan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berada di luar negara sehingga hujung bulan ini atas urusan rasmi.

Pada 10 November lalu, Tengku Adnan berkata, Umno telah bertindak adil dengan memberi peluang kepada Zaid untuk menjawab surat tunjuk sebab berikutan tindakannya menulis surat terbuka dan menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagi membincangkan pemansuhan ISA itu adalah bertentangan prinsip dan amalan parti.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk kemungkinan digantung atau dipecat akan ditentukan pengurusan parti sebaik menerima maklum balas daripada Zaid. Pada hari yang sama, Zaid dalam satu sidang media mempertahankan tindakan itu kerana katanya, ia bertujuan menyatakan sokongan terhadap isu pemansuhan ISA semata-mata dan bukan untuk menyokong sama ada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pas mahu pun Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tidak bermaksud untuk tidak setia kepada parti tetapi beberapa tindakan dan pandangan yang dikemukakan beliau dilihat tidak dapat diterima pihak tertentu menyebabkan beliau menghadapi banyak kesukaran.

Tiada ulasan: