Ahad, 2 November 2008

Wang politik: BPR juga terima aduan daripada anggota Kabinet

BERNAMA


NILAI: Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) mengesahkan menerima banyak maklumat dan laporan berhubung rasuah di dalam parti politik, termasuk Umno.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya sedang menyiasat maklumat itu yang ada di antaranya disalurkan oleh beberapa orang menteri. Namun begitu, beliau enggan mendedahkan jumlah laporan yang diterima atau siapa yang memberi laporan.

"Kita menerima banyak laporan bukan sahaja rasuah di dalam Umno malah semua parti terlibat dengan rasuah.

"Kita memandang serius semua laporan yang diterima dan akan siasat perkara ini tidak mengira parti politik," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Latihan Ujian Menembak BPR di Lapang Sasar Mantin di sini.

Selain itu BPR turut menerima beberapa surat layang yang mengatakan terdapatnya beberapa individu di dalam parti politik terlibat rasuah.

"Banyak surat layang kita terima tetapi ada yang betul ada yang tidak... kita tak boleh dengar cakap sembang di kedai kopi sahaja tanpa mengesahkan kesahihan perkara itu.

"Kita siasat tapi jangan sampai menyusahkan pegawai kita untuk pergi ke sana untuk sahkan perkara itu tetapi sebaliknya tak betul. Ini sudah membuang masa pegawai kita," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mendengar atau menerima sebarang laporan berhubung rasuah, perlu mendapatkan pengesahan dahulu sebelum membuat sebarang laporan.

Tiada ulasan: