Sabtu, 1 November 2008

Tubuh suruhanjaya, siasat dakwaan Ian Chin

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Terpulang kepada pihak yang terbabit dengan pendedahan hakim yang diugut untuk dipecat jika membuat keputusan yang bertentangan dengan kerajaan.

Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata bekas Hakim Mahkamah Tingi, Dato' Ian Chin Chong mempunyai hak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Jika benar apa yang didakwa olehnya, suatu suruhanjaya siasatan diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, sekiranya Ian mempunyai bukti dan sanggup tampil ke hadapan bagi mengemukakan dakwaan tersebut, ia akan menjadi sebuah kes.

Namun secara prinsip ujarnya, hakim dan kehakiman merupakan badan yang bebas serta berkecuali yakni tidak perlu memihak kepada kerajaan atau mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Hakim seharusnya bebas, berkecuali dan dilindungi kerana nilai integriti mereka yang tinggi.

"Kalau hakim takut kepada sesetengah pihak, susahlah kita," ujarnya.

Tambahnya, perkara seumpama ini bukanlah perkara pertama yang berlaku dalam sejarah badan kehakiman di negara ini.

"Pada tahun 2000 pernah terjadi kes yang hampir sama, apabila seorang hakim iaitu Dato' Kamil Awang mendakwa beliau pernah diarahkan untuk menolak petisyen pilihan raya," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Dato' S Ambiga dipetik sebagai berkata peletakan jawatan Ian Chin akan meninggalkan tanda tanya kepada pelbagai persoalan.

Beliau juga tidak dapat memastikan tindakan Ian Chin akan memberi kesan kepada badan kehakiman selari dengan keputusan yang dibuat hakim itu.

Pada 31 Oktober lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Ian Chin Hong Chong yang pernah mendedahkan bahawa hakim diugut pecat jika membuat keputusan tidak memihak kepada kerajaan, mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Disember depan. - mks. _

Tiada ulasan: