Khamis, 13 November 2008

Tiket loteri: Shamsiruddin kata ia bertujuan menyindir

Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH - Calon kontroversi Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh, Ir Che Wan Shamsiruddin Shamsuddin 50, menafikan beliau menyokong perjudian kerana mengedarkan 'tiket loteri' kepada perwakilan dalam mesyuarat agong Umno bahagian itu, 9 November lalu.

Menurutnya, apa yang dilakukanya adalah suatu sindiran kepada calon lain yang memberi wang kepada perwakilan bagi memenangi jawatan dalam parti.

"Calon lain memberi wang, saya hanya memberi nombor pencalonan saya 0440 kepada perwakilan dengan harapan perwakilan akan memberi undian kepada saya.

"Calon yang menang dalam pertandingan semuanya memberi wang dan calon yang paling banyak berbelanja dialah yang menang jawatan lebih tinggi," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Dalam pertemuan itu, Shamsiruddin menafikan beliau mengedar 1,000 tiket loteri kepada perwakilan dan pemerhati sebalik hanya 300 tiket diedarkan kepada 402 perwakilan.

"Tiket yang saya edar tidaklah sampai 1000 keping hanya 300," katanya yang juga bekas Exco Pemuda Umno Malaysia, memperbetulkan laporan media sebelum ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar harian melaporkan Shamsiruddin mengejutkan semua pihak dengan mengedar 1000 keping tiket loteri semasa mesyuarat agung Umno.

Menjelaskan tindakanya itu, beliau berkata apa dilakukanya adalah simbolik kepada kegiatan politik wang di mana perwakilan mengambil wang daripada calon yang bertanding.

"Mereka ambil wang, saya beri mereka kertas (bukan wang) dengan memberi harapan jika nombor itu menang mereka akan memperolehi wang, ia tidak berbeza walaupun ada pihak mengatakan saya mengedar nombor ekor itu haram.

"Apa bezanya dengan mereka yang mengambil wang itu," soal beliau.

Menurut beliau, pelbagai kaedah diguna untuk mengedarkan wang kepada para perwakilan ada yang menggunakan cek, bank draf dan sebagainya, ada juga yang memberi janji balak, projek dan sebagainya," katanya. - mns_

Tiada ulasan: