Sabtu, 1 November 2008

Tiga cedera dilibas golok dalam asrama

MSTAR ONLINE


PERMASURI: Tiga pelajar sebuah kolej swasta di bandar ini cedera dengan seorang daripada mereka putus urat dua jari kanannya akibat dilibas dengan sebilah parang dalam kejadian amuk di bilik asrama kolej berkenaan awal pagi kelmarin.

Setakat ini, polis masih menyiasat motif serangan itu dan lima pelajar termasuk semua yang cedera akan ditahan bagi membantu siasatan untuk membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti punca sebenar kejadian yang dianggap serius kerana membabitkan serangan dan senjata tajam dalam kawasan kolej.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaikh Othman Abdul Hamid yang mengesahkan kejadian itu berkata, setakat ini polis sudah merampas sebilah golok dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan ketika serangan dalam kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai bermula selepas seorang pelajar berkenaan terkena sepakan daripada seorang daripada pelajar di situ menyebabkan lelaki berkenaan mengeluarkan golok dan melibasnya secara membuta-tuli menyebabkan tiga pelajar yang berada di kawasan itu turut mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian kelam-kabut itu, sebatang kayu turut digunakan menyebabkan seorang lagi lelaki dilaporkan cedera.

“Berikutan itu, tiga pelajar kolej yang cedera itu dimasukkan ke hospital dengan dua daripada mereka dirawat di Hospital Setiu (HS) manakala seorang lagi di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat hampir putus dua jarinya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang dirawat di HSNZ berasal dari Kuala Terengganu berusia 22 tahun dan mengalami kecederaan di tapak tangan, dada dan putus urat pada dua jarinya manakala seorang lagi yang juga suspek dalam serangan itu berusia 22 tahun berasal dari Kelantan.

Pelajar jurusan Teknologi Maklumat (IT) itu yang turut cedera manakala seorang lagi berusia 20 tahun dirawat di HS sebagai pesakit luar.

“Seorang daripada mereka menerima enam jahitan di kepala manakala seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar selepas dilaporkan cedera di tapak tangan, dada dan beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana siasatan masih di peringkat awal tetapi memberitahu polis sudah merampas sebilah golok dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Harian Metro difahamkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan dan gambaran awal berhubung motif kejadian dijangka diperoleh selepas semua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan.

Setakat ini, polis menolak sebarang kemungkinan anasir luar berhubung kejadian itu dan percaya ia hanya membabitkan perihal dalaman pelajar berkenaan.

Tiada ulasan: