Khamis, 6 November 2008

Tentang 'politik wang' punca Ku Li gagal?

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pembantu Khas bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa politik wang adalah antara sebab mengapa Ku Li hanya mendapat satu pencalonan.

Ku Li yang hanya mendapat satu pencalonan daripada Bahagiannya di Gua Musang sah tidak boleh bertanding bagi jawatan nombor satu parti apabila tidak melepasi had kelayakan yang ditetapkan Umno.

Menurut beliau, permainan politik wang menyempitkan lagi ruang Ku Li lantas gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.

Ketika berbual bersamanya di Lobi Parlimen semalam, Kamal Amir mendakwa Ku Li sebenarnya kalah kerana tidak mahu mengeluarkan wang kepada para perwakilan bagi mencalonkan beliau.

Dalam perbualan yang sama, Kamal Amir menegaskan bukan prinsip Ku Li sejak dahulu lagi untuk mengeluarkan wang hanya kerana mahu mendapatkan pencalonan.

Biar banyak manapun atau sedikit permintaan wang dari wakil bahagian, namun Ku Li tetap dengan prinsipnya tidak mahu mengamalkan politik wang dalam pemilihan, kata Kamal Amir.

Sebelum ini umum mengetahui, Ku Li antara tokoh veteran Umno yang cukup lantang menentang politik wang selain mendesak kuota pemilihan jawatan parti dimansuhkan.

Ku Li adalah antara yang terawal menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno yang menjadi kerusi panas seketika berikutan teka-teki samada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskanya kepada Najib atau sebaliknya.

Namun, pelan peralihan kuasa yang akhirnya terpaksa dipercepatkan daripada Jun 2009 kepada Mac 2009, akhirnya menyebabkan pencalonan ke atas Najib melonjak secara mendadak.

Sementara itu Kamal Amir dalam satu laporan turut menyatakan wakil dari lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk mendapatkan wang sebelum mesyuarat dijalankan.

Beliau mendakwa ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

Namun kata Kamal Amir, beliau memberitahu mereka bahawa Ku Li tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan. Sebaliknya, Ku Li hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan.

Kamal Amir seterusnya mendakwa berkata, sebanyak 67 bahagian mencalonkan Ku LI untuk jawatan Presiden Umno.

Namun daripada jumlah tersebut, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara angkat tangan, dakwanya.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Ku Li boleh berubah," katanya.

Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi.

Ini katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelum ini. - mks._

Tiada ulasan: