Rabu, 19 November 2008

Sikap berat sebelah polis tangani aduan dipersoal

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Dato' Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) hari ini mempersoalkan tindakan pihak polis yang dilihat seolah-olah berat sebelah dalam memilih aduan-aduan tertentu untuk disiasat dengan kadar segera.

Beliau ketika bangkit mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat mempersoalkan siapa sebenarnya menentukan sesuatu aduan itu disiasat ataupun tidak.

"Bagi setiap aduan yang dibuat, siapakah sebenarnya yang menentukan sama ada aduan itu akan disiasat ataupun tidak? Adakah OCPD itu sendiri mempunyai kuasa atau pilih berdasarkan aduan tertentu, yang mana dia rasakan ada kepentingan untuk siasat aduan tersebut?" soal beliau dalam sesi soal jawab, hari ini.

Beliau juga berkata, pihaknya mendapati terdapat aduan yang membabitkan pihak-pihak tertentu akan segera disiasat, sedangkan ada aduan orang ramai mengambil masa untuk disiasat.

Bagaimanapun, menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wan Abdul Farid Wan Ahmad berkata, orang ramai yang membuat aduan kepada polis kini boleh mendapatkan status aduan mereka.

Menurutnya, kerajaan kini sudah memperuntukkan satu undang-undang di mana pengadu boleh menyemak status aduan mereka di balai polis terbabit, dan menjadi tanggungjawab pegawai polis untuk memaklumkan status aduan berkenaan.

"Bagi tujuan tersebut, terdapat borang khas yang perlu diisi oleh pengadu di balai terbabit. Sekiranya pegawai polis berkenaan enggan memaklumkan status aduan berkenaan, mereka boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan tersebut," tegas Farid.

Sebelum itu, Farid memberitahu Dewan Rakyat bahawa masih terdapat 81,376 aduan yang tertangguh sejak 2005 dan tahun sebelumnya, yang dikatakan berpunca daripada pengadu itu sendiri.

Menurut beliau, antara punca aduan-aduan berkenaan tertangguh kerana pengadu tidak dapat mengemukakan saksi-saksi kes, selain mereka tidak berminat untuk meneruskan lagi kes tersebut.

Jawapan Farid itu berdasarkan soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang meminta kementerian terbabit menyatakan halangan utama yang menyebabkan banyak kes tertangguh, yang akhirnya menyebabkan kebanyakan barang kes hilang serta langkah kerajaan mengatasi masalah tersebut.

Mengakui terdapat beberapa barang kes yang hilang dalam tempoh siasatan, Farid berkata kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan perang jenayah ini.

Antaranya, menurut beliau menghantar pegawai ke luar negara untuk mempelajari tentang forensik serta memperkemaskan kelengkapan pihak polis dalam mengatasi masalah jenayah di negara ini. - mns_

Tiada ulasan: