Khamis, 20 November 2008

Shah Rukh Khan tidak dapat hadir terima anugerah Datuk

MSTAR ONLINE

MELAKA: Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan tidak dapat datang ke Malaysia untuk menerima gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka pada 29 November ini disebabkan jadualnya yang sibuk.

Difahamkan, pegawai-pegawai negeri yang menguruskan kedatangan bintang itu sedang berusaha untuk mengatur tarikh baru bagi membolehkannya hadir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam berkata, beliau ada mendengar tentang hal itu namun enggan mengulas mengenainya.

"Apa yang saya faham, ia ditunda. Sebarang maklumat lanjut, kamu boleh hubungi Setiausaha Negeri," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif negeri, di sini, semalam.

Shah Rukh Khan adalah di antara 77 orang yang dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari lahir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang ke-70 bulan lalu.

Bagaimanapun, penganugerahan itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Idea untuk menganugerahkan darjah kebesaran itu dicetuskan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin manakala Ali mempertahankan penganugerahan itu.

Setiausaha Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh yang dilantik untuk menguruskan kedatangan Shah Rukh Khan ke sini bagaiamanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Tiada ulasan: