Isnin, 17 November 2008

Selangor cadang tubuh Sekolah Agama Teknik/Vokasional

BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang menubuhkan Sekolah Agama Teknik/Vokasional bagi memberikan peluang kepada pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan kemahiran.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertanggungjawab terhadap operasi sekolah agama untuk menyediakan kerangka bagi penubuhan sekolah itu.

Penyediaan kerangka itu dijangka akan mengambil masa enam bulan, katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan khas Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) Selangor 2008 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau diberitahu terdapat ramai pelajar yang memohon masuk ke sekolah agama tetapi tidak cukup tempat dan dengan adanya sekolah agama teknik/vokasional ini akan dapat mengatasi masalah itu.

“Sudah tiba masanya digabungkan pendidikan kemahiran vokasional atau teknik dengan pendidikan agama kerana permintaan kepada tenaga kerja mahir di dalam negara adalah tinggi dan pendidikan seumpama ini memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Khalid juga mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA daripada RM738.30 sebulan kepada RM1,000 dan elaun penyelia KAFA daripada RM1,112 kepada RM1,500 serta kemudahan perlindungan insurans Takaful mulai Januari tahun hadapan.

Beliau juga berkata guru KAFA lulusan diploma perguruan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) akan berpeluang diserapkan sebagai guru tetap di bawah Skim Perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Pada majlis itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan.

Tiada ulasan: