Isnin, 17 November 2008

RM2.5 bilion rebat tunai dibayar kepada pemilik kenderaan pensendirian

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sejumlah RM2.5 bilion rebat tunai dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian dengan bilangan kenderaan kira-kira 5.66 juta bagi tempoh 14 Jun sehingga 31 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM316.1 juta merupakan rebat tunai kepada 2.11 juta pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc.

“Sementara RM2.028 bilion adalah rebat tunai kepada 3.24 juta pemilik kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2000cc.

“Bakinya sebanyak RM192 juta merupakan rebat tunai kepada hampir 0.31 juta pemilik jip dan pikap persendirian berkapasiti enjin sehingga 2500cc di Semenanjung dan sehingga 3000cc di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebanyak 51 buah sekolah menengah dan rendah baru akan dibina di Sabah bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata ia melibatkan 14 buah sekolah rendah, 35 sekolah menengah harian, sebuah sekolah sukan dan sebuah sekolah teknik.

“Kementerian juga melaksanakan 78 projek pembekalan elektrik luar bandar.

Siling bagi kesemua projek ini ialah RM1.451 bilion,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan).

Beliau berkata bagi bajet mengurus pula, peruntukan yang disalurkan bagi kerja penyelenggaraan sekolah, asrama dan institusi pelajaran yang lain dalam tempoh 2006 hingga 2008 adalah berjumlah RM174 juta.

“Peruntukan yang besar yang diluluskan untuk penyelenggaraan institusi pelajaran di Sabah ini adalah berikutan keadaan fizikal bangunan yang sememangnya kita ketahui agak uzur dan memerlukan banyak penyelenggaraan dan baik pulih,” katanya.

Tiada ulasan: