Isnin, 17 November 2008

Presiden PAS seru Unit Amal tingkatkan keupayaan

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam menyeru Unit Amal PAS agar bersaing dengan lebih gigih dengan badan amal bukan Islam.

Katanya, Unit Amal melalui Yayasan Amal di peringkat antarabangsa perlu membuktikan keupayaan mereka untuk sama-sama memberi bantuan kepada mana-mana pihak yang mengalami krisis di negara mereka.

Ustaz Hadi berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturrahim dan Muhasabah Amal, di Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Menurut Ustaz Hadi, Unit Amal perlu menjadi satu pasukan pertama yang tiba di mana-mana negara yang mengalami krisis seperti masalah gempa bumi, krisis politik atau apa jua masalah yang dihadapi negara terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap Unit Amal yang proaktif menjayakan misi bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan, khususnya di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, majlis tersebut diadakan bagi meraikan petugas-petugas Unit Amal yang sentiasa bersedia berkhidmat dengan PAS, selain meneruskan misi kemanusiaan di seluruh negara.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali yang juga Pengerusi Harakah, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ishak dan Setiausaha Politik MB Perak, Misbahul Munir Masduki, dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Husin Ismail. - mns_

Tiada ulasan: