Sabtu, 15 November 2008

Polis tunggu arahan JHEAT

Oleh NOR AZIAH JAAFAR


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan menahan ketua kumpulan ajaran sesat Ayah Pin atau Arifin Muhamad, 65, dalam tempoh terdekat ini hasil perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan (gambar) berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak JHEAT untuk membincangkan tindakan bersama yang boleh diambil terhadap pengasas 'Kerajaan Langit' itu berikutan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai lokasi sebenar dan keadaan kesihatan Ayah Pin.

"Hasil perbincangan itu, dalam tempoh terdekat mungkin ada tindakan ke arah itu (penahanan)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas arahan Musa agar polis mendapatkan penjelasan dari JHEAT yang tidak membenarkan polis menahan Ayah Pin ketika pulang ke negara ini dari Selatan Thailand baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shukri, dalam pertemuan semalam polis dimaklumkan bahawa JHEAT ketika ini masih dalam proses memulihkan akidah pengikut- pengikut ajaran Ayah Pin.

Katanya, sehubungan itu polis tidak boleh mengambil tindakan melangkaui keputusan JHEAT yang berkuasa ke atas hal-hal berkaitan agama Islam kerana pihak polis hanya membantu.

Jelas beliau, polis menunggu pertemuan kedua dengan JHEAT dalam tempoh terdekat ini kerana sebarang keputusan harus dibincangkan dengan teliti untuk tindakan paling berkesan.

"Jika ada sebarang keputusan, ia tertakluk kepada pihak JHEAT," ujarnya.

Menurutnya, bagi pihak polis, Ayah Pin dianggap ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat serta wajar ditahan berikutan pengaruh ajaran 'Kerajaan Langit' yang diasaskannya masih wujud.

"Ayah Pin wajar ditahan sebab pihak berkuasa negeri sudah keluarkan keputusan isytiharkan dia bawa ajaran salah," ujarnya.

Tiada ulasan: